Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB T'ganu: Penjawat awam jangan mudah puas hati prestasi negeri
Diterbitkan:  May 26, 2019 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan penjawat awamnya agar tidak terlalu mudah berpuas hati dengan pencapaian kerajaan negeri itu.

Sebaliknya, Ahmad Samsuri menegaskan masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan untuk rakyat dan juga ruang-ruang yang perlu diperbaiki pentadbiran kerajaan negeri itu.

"Dari segi apa yang kita hendak buat dan apa yang kita capai masih banyak yang kita hendak laksanakan, sebab itu saya selalu beritahu ahli majlis pejabat kerajaan jangan rasa berpuas hati dengan apa yang kita capai selama setahun ini.

"Walaupun kita berjaya menimbulkan suasana yang sangat harmoni di Terengganu, perjalanan kita masih jauh, banyak lagi perkara yang hendak dibuat, banyak lagi ruang-ruang yang boleh kita perbaiki, yang perlu kita buat untuk rakyat," katanya kepada Malaysiakini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Ahmad Samsuri berkata demikian bagi mengulas setahun pencapaian pentadbiran kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS.

Ahmad Samsuri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu yang baharu, selepas PAS memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 14, 9 Mei 2018.

Keputusan PRU-14 sekali gus menyaksikan PAS kembali menjadi kerajaan negeri buat kali kedua selepas PRU-10 pada 1999.

PAS negeri mendominasi 22 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN dan enam daripada keseluruhan lapan kerusi parlimen di seluruh negeri, menewaskan BN pimpinan Ahmad Razif Abd Rahman yang hanya memenangi 10 kerusi DUN dan dua kerusi parlimen.

Lihat Komen
ADS