Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ ditempatkan di RnR sepanjang operasi Aidilfitri

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan pasukan penguatkuasaan di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dan Hentian Sebelah sepanjang Ops Bersepadu sempena Aidilfitri, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata mereka akan menjalankan pemeriksaan secara rawak terhadap pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Contohnya di Teminal Bersepadu Selatan (TBS), mereka akan memeriksa bas sebelum ia memulakan perjalanan. Ada tempat-tempat lain dan kita tahu hotspot itu tetapi kita tak boleh dedahkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2019 di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) Rosli Isa.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPJ Shaharuddin Khalid, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Suret Singh dan Pengerusi AEON Credit Service (M) Bhd Ng Eng Kiat.

Ops bersepadu itu yang bertemakan 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' bermula hari ini sehingga 12 Jun.

Loke berkata bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini pada musim perayaan, pengguna jalan raya khususnya yang tidak memandu dan menunggang boleh melaporkan kesalahan yang dilakukan individu kepada JPJ.

Dalam pada itu, beliau berkata saman yang dikeluarkan agensi penguat kuasa bukanlah bertujuan menghukum sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada pengguna supaya mengikut peraturan dan mengutamakan keselamatan.

Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata kempen serupa yang dijalankan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini menyaksikan angka kemalangan berkurangan daripada 21,041 pada tahun lepas kepada 20,829 kemalangan pada tahun ini.

"Untuk tempoh yang sama, sebanyak 197 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 208 kematian pada tahun 2018 iaitu penurunan sebanyak 11 kes kematian dan saya berpandangan angka kematian itu masih tinggi dan saya berharap semua pihak berusaha mengurangkan angka ini.

"Berdasarkan kepada statistik yang lepas, kebanyakkan kemalangan jalan raya berlaku di jalan Persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar. Oleh itu saya mengharapkan PDRM dan JPJ memberi tumpuan kepada operasi mereka di jalan-jalan ini," katanya.

Loke berkata penguatkuasaan juga perlu dibuat dengan lebih banyak terhadap penunggang motosikal yang menyumbang sebanyak 63 peratus kemalangan maut.

Selain itu, katanya hampir 35 peratus penunggang motosikal maut akibat tidak menggunakan topi keledar dan ia perlu diberi perhatian yang serius.

Pada majlis itu, beliau turut melawat pameran keselamatan dan mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung yang hadir.

- Bernama

Lihat Komen
ADS