Terjemahan Satu perhimpunan besar-besaran membantah kenaikkan harga minyak, akan diadakan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) tengah hari esok.

"Kami menjangka kira-kira 5,000 orang akan hadir membawa sepanduk dan kain rentang," kata ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Hatta Ramli.

"Ramai yang marah dan penjelasan (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) di televisyen malam tadi juga gagal meredakan kemarahan mereka," kata Dr Hatta ketika dihubungi malaysiakini.

Menurutnya, PAS telah memulakan langkah untuk menganjurkan demonstrasi tersebut yang kemudiannya turut mendapat sokongan parti-parti politik lain serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengajak rakyat menyertai bantahan tersebut.

Ini termasuk parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), badan hak asasi manusia Suaram dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan rakan sejawatannya dari PKR, Dr Syed Husin Ali (foto), juga dijangka turut serta menghadiri bantahan esok.

"Ini bukanlah hal PAS sahaja. Setiap orang yang marah dengan kenaikan harga minyak mesti datang," tegasnya.

Beliau juga menggesa pihak polis supaya membenarkan orang ramai melaksanakan hak mereka untuk berhimpun dan "jangan menyemarakkan lagi kemarahan orang ramai, dengan bertindak terhadap mereka yang menyertai perhimpunan aman," katanya.

Perhimpunan bermula jam 2 petang

Beliau menyifatkan bantahan tersebut sebagai signifikan kerana ia akan diadakan di Menara Kembar KLCC, milik syarikat minyai negara, Petronas, yang turut menempatkan ibu pejabatnya.

Mereka yang mahu menyertai bantahan tersebut diminta berkumpul di halaman KLCC berhampiran Jalan Ampang pada jam 2 perang. Mereka akan disertai orang ramai dari Masjid KLCC selepas sembahyang Jumaat.

Sementara, parti PSM menggesa rakyat Malaysia supaya "berhenti bersungut" mengenai kenaikan harga minyak, tetapi sebaliknya keluar menyatakan bantahan mereka esok.

"Kami menyeru semua orang supaya meluangkan masa mereka untuk menyertai bantahan tersebut bersama-sama beribu-ribu orang lagi," kata parti itu dalam satu kenyataan.

Selasa lalu, kerajaan telah menaikkan harga minyak antara 18.5 peratus hingga 23 peratus. Dalam tempoh tidak sampai dua tahun, kos petrol telah naik 40 peratus manakala harga diesel pula naik 102 peratus.

Kenaikan harga 'munasabah'

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan langkah kerajaan menaikkan harga minyak dengan menyatakannya ia 'munasabah' dan kerajaan dapat menjimatkan RM4.4 bilion daripada subsidi bahan api.

Wang tersebut, katanya, akan dapat digunakan untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam serta projek pembangunan yang lain.

Sementara itu, Najib pula menegaskan malam tadi, jika kadar penggunaan bahan api tidak diambilkira, Malaysia akan menjadi pengimport minyak dalam tempoh empat tahun lagi.

Manakala Pemuda Gerakan salah sebuah parti komponen dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam satu kenyataan semalam, telah menyuarakan kekecewaannya terhadap langkah kerajaan menaikkan harga minyak. Berita asal