Mahkamah Rayuan hari ini memberi kebenaran kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd untuk memulakan prosiding ke atas Metramac Corporation Sdn Bhd dan ahli lembaga pengarahnya kerana ingkar terhadap penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Oktober lalu.

Keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh tiga anggota panel Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Ahmad Zulkefli Makinuddin yang mendengar permohonan tersebut.

Notis kebenaran untuk mendapatkan perintah itu difailkan pada 22 Februari lalu, menerusi firma guaman Noraishah & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan.

Menurut laporan Bernama, Pengarah Metramac yang dinamakan dalam notis itu ialah Tee Kim Siew, 41; Mohd Rijaluddin Mohd Salleh, 46, dan Datuk Azmil Khalili Datuk Khalid, 46.

Fawziah Holdings memohon perintah tersebut kerana mendakwa Metramac telah ingkar mematuhi perintah mahkamah pada 25 Oktober lalu, yang melarang syarikat tersebut daripada melupus dan menghilangkan sebarang asetnya sehingga RM100 juta sehingga perintah selanjutnya.

Fawziah Holdings mendakwa pada 13 Disember 2005, Metramac, syarikat konsesi East-West Highway dan Sungai Besi Expressway, telah membayar RM169.3 juta membabitkan dividen sebanyak RM106 juta, tunai RM57.7 juta dan RM5.6 juta kepada MTDI.

Fawziah Holdings mendakwa pembayaran oleh Metramac itu menghina mahkamah kerana ia melanggar injunksi Mareva yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Oktober lalu.