Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afif: Dulu BN tangguh, tapi kini Najib tanya mana terowong

Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin membidas gimik bekas perdana menteri Najib Razak yang menyindir projek terowong dasar laut kerajaan negeri itu.

Afif merujuk klip video yang dimuat naik Najib di Facebook hari ini, yang disertakan keterangan: "Terowong Lim Guan Eng? Yilek (tak ada). Sama macam janji manis PH. Kosong".

Dalam klip video itu, Najib berdiri di tepi laut, dipercayai di Pulau Pinang, ketika kunjungannya ke negeri itu Ahad lalu.

Afif mengingatkan Najib bahawa kerajaan BN sendiri yang sebelum ini meluluskan penangguhan projek terowong dasar laut berkenaan.

Afif mendakwa kerajaan BN ketika itu begitu berdendam sehingga tidak mempedulikan usaha kerajaan Pulau Pinang untuk menyelesaikan isu kesesakan di negeri itu.

"Kini dia berdiri tepi laut dan tuding jari tanya kita mana terowong?

"Terowong itu merupakan rancangan kerajaan Pulau Pinang untuk menghubungkan tanah besar ke pulau, memberi rakyat akses yang lebih baik ke pulau dan sebaliknya.

"Kita berusaha untuk menjadi lebih inklusif dan bukan hanya menumpukan untuk membangunkan pulau.

"Bagaimana Najib boleh ketawa macam ia adalah suatu jenaka? Najib sudah sesat. Dulu dia ada visi, tapi kini itu pun sudah hilang," kata Afif.

 

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, pemimpin BN mempersoalkan ketelusan projek inisiatif kerajaan negeri berkenaan.

Lim yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang ketika itu mendakwa pemimpin BN cuba mensabotaj projek itu.

Projek itu sempat ditangguhkan susulan penahanan pegawai pemaju projek itu, Konsortium Zenith pada Jan tahun lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pegawai eksekutif kanan Konsortium Zenith Zarul Ahmad Zulkifli berkata SPRM sudah mengesahkan dia tidak terlibat dalam sebarang skandal berhubung projek itu dan pembinaannya akan dimulakan 31 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Najib seharusnya menjelaskan berhubung dana 1MDB yang didakwa diseleweng yang dan mengheretnya ke mahkamah atas tuduhan mengubah wang.

"Wang yang dia (Najib) ambil pun hilang, tak nampak.

"Kata dulang paku serpih. Dia tak sedar ke gimik dia ini memalukan? Dia tuding satu jari pada orang lain, empat jari tuding diri sendiri," kata Afif yang juga merupakan Adun Seberang Jaya.

Lihat Komen
ADS