Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara SRC Najib: Kami dipaksa tulis cek, kata saksi
Diterbitkan:  May 28, 2019 1:57 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

KES NAJIB | Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Dr Shamsul Anwar Sulaiman memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau "dipaksa" mengeluarkan cek untuk individu atau entiti yang beliau tidak ketahui.

Semasa pemeriksaan balas oleh Harvinderjit Singh, Shamsul berkata beliau mengeluarkan cek itu atas arahan Dennis See Thuan Buan, pengarah tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1MDB.

Shamsul mengakui permintaan itu adalah luar biasa tetapi ia dipatuhi olehnya.

Harvinderjit: Dalam fikiran kamu, mesti kamu fikirkan cek ini untuk apa.

Shamsul: Saya tanya kepadanya (See) dan beliau kata "kamu tak perlu tahu."

Harvinderjit: Adakah apa-apa pada peringkat itu, yang buat kamu mengesyaki Najib (Razak) terlibat?

Shamsul: Saya tidak mengesyaki apa-apa.

Shamsul dalam keterangannya berkata beliau cuba bertanya mengenai penerima cek tetapi kecewa dengan See, yang memberi maklum balas dia hanya mengikut arahan dan Ihsan Perdana juga perlu lakukan perkara yang sama.

Shamsul juga menyatakan beliau dipaksa untuk patuh kerana Yayasan Rakyat 1Malaysia dan 1MDB membiayai kerja- kerja CSR Ihsan Perdana.

RM143 juta untuk Ihsan Perdana

Pada satu ketika, Harvinderjit kemudian menarik perhatian Shamsul kepada fakta bahawa RM143 juta telah dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana pada April 2015.

Berikutan itu, Shamsul menegaskan bahawa beliau telah menandatangani 28 cek Ihsan Perdana berjumlah RM73 juta kepada Mail Global Resources Sdn Bhd.

Shamsul juga menegaskan beliau menandatangani cek berjumlah RM3 juta kepada Razli Talib dan Razlan Shah dan juga cek bernilai RM42 juta kepada akaun yang mahkamah kini ketahui di bawah nama Najib.

Shamsul berkata beliau telah bertanya tentang akaun peribadi AmBank dengan angka terakhir 906 dan 880 tetapi tidak berjaya.

Harvinderjit: Jika kamu mempunyai firasat bahawa akaun ini (milik) PM, dan kamu mempunyai akses langsung kepada beliau, adakah kamu akan menghubunginya?

Shamsul: Ya. Saya akan buat begitu jika saya tahu (pemilik akaun).

Shamsul menegaskan beliau tidak tahu dari mana datang RM143 juta itu pada masa itu dan beliau mengikuti arahan dari See untuk membolehkan akaun bank Ihsan Perdana sebagai transit.

Harvinderjit: Apa perkataan yang disebut secara tepat (oleh See)?

Shamsul: Pinjam Akaun.

Harvinderjit: Kamu berasa dipaksa (untuk setuju) tetapi kamu tidak fikir tentang apa-apa yang menyalahi undang-undang?

Shamsul: Kami bincangkan. Kenapa kami? Kami sedang melakukan projek CSR. Mengapa pinjam akaun kami untuk orang yang tidak dikenali? See kata dia mengikut arahan seperti mana dia memberi arahan (kepada saya). 

Lihat Komen
ADS