Spura bimbang implikasi Msia bina jambatan separuh
Singapura mengulangi kebimbangannya terhadap implikasi serius sekiranya Malaysia meroboh tambak di sebelah bahagiannya dan menggantikan dengan jambatan separuh, tidak kira "bagaimana indah sekalipun" jambatan itu kelak.
Singapura mengulangi kebimbangannya terhadap implikasi serius sekiranya Malaysia meroboh tambak di sebelah bahagiannya dan menggantikan dengan jambatan separuh, tidak kira "bagaimana indah sekalipun" jambatan itu kelak.
Menteri Luarnya, George Yeo berkata republik itu telah menjelaskan perkara tersebut dalam nota yang dihantar kepada Kuala Lumpur menerusi pihak ketiga.
"Kami menjelaskan kepada Malaysia implikasi serius ekoran langkah unilateral Malaysia untuk merobohkan tambak di sebelah bahagiannya dan menggantikan dengan jambatan bengkok, bagaimana indah sekalipun," katanya di Parlimen Singapura semalam.
Yeo membuat kenyataan tersebut ketika menjawab isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen semasa membahaskan Bajet 2006 di sidang Parlimen republik itu yang sedang berlangsung sekarang.
Januari lalu, Malaysia dilaporkan akan meneruskan rancangan menggantikan tambak di sebelah bahagiannya dengan jambatan separuh bengkok, yang akan dikenali sebagai "jambatan indah."
Yeo berkata, Malaysia telah memperjelaskan perkara itu kepada Singapura dan Malaysia terus komited mengadakan rundingan bagi pembinaan sebuah jambatan penuh untuk menggantikan tambak berusia 81 tahun yang menghubungkan kedua-dua negara.
Menurut laporan Bernama, Yeo berkata, hanya kajian tanah dikendalikan dalam perairan republik itu.
"Ya, rundingan mengenai jambatan penuh masih berjalan. Pusingan keempat rundingan baru sahaja selesai (di Singapura) pada hari Isnin. Pusingan kelima perbincangan dijadualkkan mungkin bulan ini," tambahnya.
Pasukan polis
Yeo berkata , rundingan itu mencatatkan kemajuan ke arah manfaat yang seimbang bagi kedua-dua pihak.
"Bagaimanapun, memandangkan rundingan kini di peringkat yang rumit, tidak wajar untuk saya mendedahkan butirannya," katanya.
Yeo berkata, hubungan Singapura dengan Malaysia adalah baik memandangkan kedua-dua negara "berkongsi sejarah dan kepentingan bersama."
Katanya, contoh paling baru mengenai hubungan itu ialah cara pasukan polis kedua-dua negara bekerjasama dalam menjejaki seorang lelaki rakyat Singapura yang amat dikehendaki oleh republik berkenaan berkaitan pembunuhan pemilik kelab malam di republik itu pada 15 Februari.
Lelaki itu ditahan oleh polis Kuala Lumpur Sabtu lalu dan dihantar pulang ke republik itu kelmarin.
"Anda hanya perlu melihat bagaimana kedua-dua pasukan polis bekerjasama dalam kes lelaki ini... Dalam masa beberapa jam sahaja, mereka berjaya menjejakinya dan menghantarnya pulang ke Singapura. Jadi, ada banyak perkara yang berlaku, yang hanya boleh berlaku disebabkan hubungan yang amat baik antara jabatan di kedua-dua negara," katanya.
Mengenai tuntutan bertindih oleh Singapura dan Malaysia terhadap Pedra Branca atau Pulau Batu Putih, Yeo berkata kes itu dijangka didengar oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2007.
"Kedua-dua pihak sudahpun mengemukakan penghujahan bertulis," katanya.
1.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.