Pengarah, ketua jambatan dan kakitangan awam di Perlis mengayuh basikal ke pejabat. Itulah saranan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai langkah menjimatkan minyak berikutan keputusan kerajaan menaikkan harga bahan bakar itu minggu ini.

"Pada peringkat awal, masyarakat mungkin melihat langkah itu janggal terutama bagi pengarah dan ketua jabatan, tetapi jika diamalkan setiap hari, ia akan menjadi perkara biasa," katanya.

Beliau membuat saranan tersebut ketika merasmikan Ekspo Jualan Buku dan Kempen Membaca 2006 Peringkat Negeri Perlis di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis hari ini

Bernama memetik Shahidan sebagai berkata, beliau pernah membuat saranan yang sama semasa negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997 dan kali ini bagi menjimatkan penggunaan minyak.

Katanya, amalan berbasikal ke tempat kerja telah lama dipraktikkan di Belanda, bukan sahaja oleh rakyat biasa dan kakitangan perkhidmatan awam, malah turut melibatkan pemimpin negara.

Beliau turut melahirkan rasa kesal ekoran terdapat pihak tertentu yang menampal poster di pokok dan di merata tempat di negeri ini yang mengecam langkah kerajaan menaikkan harga petroleum sebanyak 30 sen berkuatkuasa 28 Februari lalu.

Katanya, golongan itu cuba mengaburi rakyat tetapi pada masa yang sama, langsung tidak memberikan cadangan bagaimana rakyat boleh meringankan beban daripada kenaikan harga petroleum itu.