Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis kecam MB Perak kerana label Orang Asli 'menceroboh'

Aktivis Orang Asli Tijah Yok Chopil membidas Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang menggunakan perkataan "menceroboh" bagi merujuk sekumpulan penduduk Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala.

Malah, Tijah mendakwa, situasi Orang Asli ketika ini lebih buruk daripada ketika di bawah pentadbiran BN.

Bercakap di majlis pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia 2018 anjuran Suaram hari ini, Tijah berkata masyarakat Orang Asli kecewa kerana mereka sebelum ini telah membantu PH menang dalam pilihan raya.

"Sekarang PH menjadi kerajaan, pun sama, malahan lebih teruk. Kerana dia punya kepimpinan tinggi, macam menteri besar dan sebagainya, mereka mengeluarkan kenyataan yang agak biadab

Mereka dulu aktivis, dulu kononnya cakap nak menjadi kerajaan yang lebih baik daripada BN, mengeluarkan kenyataan-kenyataan yg bagaimana? Masih cop kami sebagai penceroboh hutan, penceroboh tanah kerajaan," katanya.

Tijah menambah bahawa masyarakat Orang Asli beralih sokongan untuk menyokong PH dan membantu gabungan itu menang, termasuklah Faizal Azumu.

Untuk rekod, Faizal Azumu meraih 7,662 undi di DUN Chenderiang dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 39 undi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kerusi DUN Chenderiang terdiri daripada 34 peratus pengundi Melayu, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan 22 peratus lain-lain etnik termasuk Orang Asli.

Dalam kenyataan medianya sebelum ini, Faizal Azumu mempertahankan tindakan penguat kuasa merobohkan sekatan Orang Asli Cunex di Gerik.

"Akibat perselisihan faham dengan Penghulu Kampung Sungai Sarok, sekumpulan penduduk terdiri daripada 26 keluarga - melibatkan 74 orang lelaki dan 42 orang perempuan - berpindah keluar dari RPS Dala pada awal 2017 dan menceroboh kawasan Hutan Simpan (HS) Air Cepam milik kerajaan negeri yang terletak 5km di luar kawasan rizab Orang Asli RPS Dala," katanya.

Faizal juga berkata, penduduk mendakwa mereka membina sekatan (blockade) kerana tiada perbincangan bersama penduduk setempat dan mendakwa ia dibuat di atas tanah adat mereka.

Bagaimanapun, Kata Faizal, semakan menunjukkan kerajaan masih belum mengiktiraf kawasan tanah adat yang dituntut oleh penduduk.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS