Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG: Syazlin cuma diarah tarik diri wakili KPKT, bomba
Diterbitkan:  May 28, 2019 7:14 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Peguam Negara Tommy Thomas dalam kenyataan medianya hari ini menjelaskan sebab peguam Syazlin Mansor diarah tarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Jelas Thomas, Syazlin seharusnya menolak pelantikan sebagai peguam mewakili KPKT dan JBPM ketika dalam pada masa sama mewakili keluarga Muhammad Adib.

Menurut Thomas, sebagaimana kementerian dan jabatan kerajaan yang lain, KPKT dan JBPM hendaklah mendapatkan nasihat undang-undang daripada Pejabat Peguam Negara, dan peguam luar mestilah dilantik oleh peguam negara atau pendakwa raya.

"Syazlin berada di dalam kedudukan konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili KPKT dan JBPM kerana beliau juga turut mewakili keluarga Allahyarham Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini," katanya.

Selain itu, Thomas juga berkata dia dimaklumkan bahawa Syazlin telah mengambil peranan yang aktif di dalam inkues berkenaan, malah sering mengambil kedudukan yang bercanggah daripada kedudukan yang diambil oleh timbalan pendakwa raya.

"Perkara ini adalah memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam bagi KPKT," katanya.


AG senaraikan empat alasan peguam diarah tarik diri


Thomas juga menyatakan bahawa satu lagi sebab Syazlin perlu menolak pelantikan sebagai peguam KPKT dan JBPM adalah kerana suaminya merupakan setiausaha akhbar kepada Menteri KPKT.

"Atas sebab-sebab di atas saya telah memohon agar Menteri KPKT untuk menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili KPKT dan JPBM," kata Thomas.

Peguam Syazlin Mansor.

Bagaimanapun, Thomas menambah bahawa dia terkejut apabila mendapat tahu Syazlin turut menarik diri daripada mewakili keluarga Muhammad Adib.

"Keputusan beliau itu dibuat secara rela dan tanpa sebarang pengaruh daripada jabatan ini.

"Akhir sekali, saya ingin menyatakan bahawa sebelum prosiding inkues bermula semalam, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin, salah seorang pegawai pengendali yang membantu koroner dalam inkues, telah bercakap secara peribadi dengan Syazlin dan memaklumkan bahawa jabatan ini tiada sebarang isu sekiranya beliau terus mewakili pihak keluarga Allahyarham Adib.

"Timbalan pendakwa raya Faten telah meminta Syazlin untuk terus mewakili keluarga Allahyarham Adib supaya prosiding inkues boleh diteruskan dan Prof Dr Shahrom Abd Wahid boleh dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut.

"Namun Syazlin tetap dengan keputusannya untuk menarik diri," katanya.

Dalam kenyataan itu, Thomas turut menjelaskan bahawa status saksi pakar Prof Dr Shahrom Abd Wahid tidak terjejas dengan penarikan diri Syazlin.

Thomas berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) bersedia untuk sepina Dr Shahrom sebagai saksi.

Dr Shahrom sebelum ini memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul pada 27 November lalu semasa rusuhan di kuil Seafield.

Keterangannya itu bertentangan dengan kenyataan dua pakar lain, yang memberitahu mahkamah bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan dalam usaha cuba melarikan diri.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu susulan kecederaan yang dialaminya.

Lihat Komen
ADS