MIC perlu jadi semak dan imbang pada PH - Penganalisis politik
MIC perlu menjadi elemen semak dan imbang kepada PH dalam usaha menawan semula pengundi masyarakat India agar kembali memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.
Berkongsi pandangan itu, penganalisis politik Anbumani Balan juga menyambut baik tindakan pimpinan MIC memberi ruang kepada pemimpin India daripada parti lain menyertai parti itu yang merupakan parti komponen tunggal mewakili masyarakat India dalam gabungan BN.
"Saya berpandangan positif dengan tindakan pucuk pimpinan MIC yang memperkasakan partinya dengan memberi peluang kepada parti-parti politik minoriti yang mewakili India supaya menyertai MIC.
"Perkara pertama adalah kedua-dua pihak perlu melepaskan ego masing-masing.
"Dan tindakan pimpinan MIC memberi peluang kepada parti lain menyertai merupakan satu tanda yang baik," katanya kepada Malaysiakini.
Presiden MIC SA Vigneswaran sebelum ini mengesahkan bahawa Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) akan dibubarkan dan pengasasnya S Nallakaruppan akan menyertai MIC.
Vigneswaran turut memaklumkan bahawa bekas timbalan presiden parti Gerakan A Kohilan Pillay akan menyertai MIC.
"Mereka berdua (Nallakaruppan dan Kohilan Pillay) akan diberikan jawatan penting selepas mereka menyertai parti.
"Pada masa yang sama, kita sedang berbincang dengan Parti Makkal Sakthi dipimpin oleh RS Thanendran, bekas aktivis Hindraf pro kerajaan BN," tambah Vigneswaran lagi.
Mengulas lanjut, Anbumani berkata MIC mampu menjadi pencabar kepada PH sekiranya mampu bertindak sebagai elemen semak dan imbang.
"Masyarakat India hanya marah dan bukan benci MIC kerana beberapa tindakan pada masa lalu. Tapi, kini mereka sedar pimpinan PH tak banyak beza dengan BN.
"Sekiranya MIC mampu memperkasakan partinya dan menjadi semak dan imbang, pengundi India akan kembali bersama BN," jelas beliau lagi.
Menurutnya, membuat pembaharuan secara domestik tidak akan memberi manfaat kepada MIC.
Sebaliknya, MIC perlu pembaharuan secara keseluruhan dengan suntikan baru seperti memberi peluang kepada pemuda.
"Buat masa ini, masyarakat India akan tetap sokong apa jua parti politik baik daripada PH mahupun BN yang mampu mempertahankan hak mereka," tegas Anbumani lagi.

