Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Biar mahkamah putuskan teori bercanggah dalam inkues Adib'

Semua pihak yang terlibat dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim perlu menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan terhadap keterangan saksi pakar yang bercanggah, kata peguam Salim Bashir Bhaskaran.

Bercakap kepada Malaysiakini, Salim berkata pihak-pihak tersebut tidak sepatutnya bertelagah antara satu sama lain kerana mereka hanya membantu koroner inkues, Rofiah Mohamad.

"Mereka mesti selalu ingat, apabila terdapat bukti yang saling bertentangan oleh dua pakar, terserah kepada mahkamah, kepada koroner, untuk menentukan siapa yang dia mahu terima.

"Dan kita mesti ingat bahawa tidak ada perbicaraan seumpama itu. Ini inkues - tiada siapa yang sedang dibicarakan, tidak ada pendakwaan, tiada pembelaan," katanya.

Salim ditanya perkembangan terbaru inkues berkenaan yang menyaksikan pihak terlibat cuba menyangkal teori saksi masing-masing tentang bagaimana Adib mengalami kecederaan sehingga membawa kepada kematiannya pada 17 Disember tahun lalu.

"Semua orang perlu membentangkan bukti mereka dan biarkan koroner membuat keputusan. Semua orang yang ada di sana (dalam inkues) hanya untuk membantu koroner untuk membuat penemuan," katanya.

Setakat ini, dua pakar forensik, iaitu Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Shah Mahmood dan pakar forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (gambar) memberi keterangan dalam iknkues tersebut.

Kedua-dua pakar yang terlibat ketika Adib ditempatkan di Institut Jantung Negara (IJN) itu- mengesahkan kecederaan Adib mungkin disebabkan dilanggar oleh kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika ia berundur.

Pendapat berkenaan dicabar oleh bekas pakar forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abdul Wahid, yang percaya anggota bomba itu ditarik keluar dari kenderaan itu dan diserang oleh beberapa perusuh.

Shah dan Hafizam dipanggil oleh timbalan pendakwa raya, manakala Shahrom dipanggil oleh peguam Syazlin Mansor, yang mewakili pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Adib.

Berikutan keterangan Shahrom, timbalan pendakwa raya yang mengendalikan inkues meminta Shah dan Hafizam dipanggil semula.

Permohonan itu pada asalnya ditolak oleh mahkamah koroner, tetapi kemudian dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam selepas rayuan.

Bagaimanapun, hanya Hafizam dibenarkan untuk dipanggil semula.

Mahkamah memutuskan tidak ada keperluan bagi Shahrom untuk dipanggil semula.


Lihat Komen
ADS