Seramai kira-kira 2,000 orang menyertai perhimpunan aman berhampiran Menara Berkembar Petronas tengah hari ini bagi membantah kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun, pihak polis menghalang mereka daripada mengadakan perhimpunan tersebut dalam kawasan perkarangan menara berkembar itu.

Kawasan tersebut dikawal oleh kira-kira 200 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersama trak polis. ang dilengkapi dengan meriam air. Sebelas lagi trak polis turut kelihatan diletakkan di situ.

Bantahan tersebut dianjurkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta parti-parti politik pembangkang bagi membantah kenaikan harga minyak antara 18.5 peratus hingga 23 peratus kenaikan yang tertinggi dalam sejarah.

Dalam tempoh kurang dua tahun, harga petrol telah naik sebanyak 40 peratus manakala harga diesel pula naik 102 peratus.

Sementara itu, dalam ucapannya kepada para hadirin, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang mengetuai perhimpunan itu, gembira kerana sambutan rakyat yang hadir untuk menyuarakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak.

"Kami mahu menunjukkan kepada kerajaan bahawa betapa ramainya rakyat yang membantah kenaikan harga minyak yang melampau itu," katanya.

Laungan slogan

Ketika ditemui selepas perhimpunan tersebut, Nasharuddin berkata ia disertai semua golongan rakyat yang tidak puashati dengan kenaikan harga minyak yang melambung itu.

Perhimpunan tersebut bermula selepas solat Jumaat berhampiran kawasan perkarangan Menara Berkembar Petronas dengan orang ramai membawa sepanduk yang membantah kenaikan harga minyak tersebut.

Mereka juga melaung-laungkan slogan mengkritik tindakan kerajaan itu sambil diselang seli dengan laungan takbir dan reformasi.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (foto) pula, dalam ucapannya, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi meletakkan jawatan kerana mendakwa beliau gagal mengawal kenaikan harga minyak.

Sambil memegang periuk, tokoh popular PAS itu berkata, penoreh getah, petani dan nelayan menanggung beban yang besar akibat kenaikan harga minyak.

Berkumpul lagi

"Pak Lah telah memasukkan pasir ke dalam periuk kita semua (rakyat)," katanya.

Bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang turut berucap, berkata beliau akan terus berjuang selagi harga minyak tidak turun.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak boleh menyalahkan mengadakan perhimpunan itu kerana beliau mendakwa, mereka telah menjadi mangsa kepada kenaikan harga minyak secara mendadak itu.

Beberapa tokoh pembangkang lain, termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), turut berucap membantah membantah kenaikan harga minyak.

Mereka juga merancang akan mengadakan perhimpunan aman sekali lagi Jumaat ini di tempat yang sama jika kerajaan masih tidak menurunkan harga minyak ke tahap sediakala.