Seorang pembantu awam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Azman Yusof mendakwa dia tidak mendapat layanan sewajarnya, termasuk tidak menerima gaji atau bonus Hari Raya daripada majikannya.

Walau bagaimanapun, MBPP menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa Azman tidak dapat lagi dapat bekerja akibat kemalangan yang menimpanya.

"Beliau memohon cuti tanpa gaji sebelum ini dan permohonan tersebut diluluskan bagi tempoh mulai 12 Disember hingga 24 Mac untuk tujuan urusan perubatan," kata MBPP dalam satu kenyataan hari ini.

"Namun demikian, selepas tamat tempoh cuti tanpa gaji, beliau masih tidak hadir bertugas atas alasan kesihatan beliau tidak mengizinkan.

Beberapa pegawai majlis telah mengadakan lawatan ke rumahnya sebelum ini bagi memahami keadaan kesihantan beliau,” kata majlis itu.

Menurut MBPP berkata Azman diberi pilihan untuk dirujuk kepada Lembaga Perubatan yang akan menentukan sama ada dia boleh terus bekerja atau patut dibersarakan atas sebab kesihatan.

Majlis itu mengulas hantaran di Facebook Penang Kini, semalam mengenai nasib pekerja itu.

 

Azman (foto, atas) mendakwa bahawa dia kehilangan dua jari kaki selepas terjatuh semasa bekerja.

“Sampai sekarang tidak boleh kerja... dan tidak siapa pun daripada MBPP mai (mari) tengok saya dan juga tidak ambil peduli terhadap saya. Saya perlukan bantuan dari MBPP. Saya kecewa.

“Enam bulan gaji pun tak ada (terima). Bonus hari raya pun tak dapat. Walau pun saya sedang sakit tapi keluarga saya nak beraya juga, awat (kenapa) MBPP buat saya pun tak tahu,” katanya.

Azman, mendakwa dirinya telah berkhidmat dengan MBPP selama lapan tahun, telah meminta portal Penang Kini supaya menjadikan kesnya tular di media sosial.

“Dia tolak begitu saja, bila telefon dia orang, langsung tak mahu jawab,” katanya.

Sementara itu, MBPP mendakwa Azman telah bersetuju untuk dirujuk kepada Lembaga Perubatan, dan permohonan telah dibuat kepada Jabatan Kesihatan Pulau Pinang pada 14 Mei lalu, supaya penilaian boleh dibuat.

"Kini, majlis sedang menunggu maklumbalas dari pihak Jabatan Kesihatan Pulau Pinang. Sebaik menerima laporan lengkap berhubung status perubatannya, perkara ini akan diangkat untuk perakuan Pihakberkuasa Pelantikan kbagi menentukan sama ada staf ini masih boleh berkhidmat atau patut dibersarakan atas sebab kesihatan.

"Berkenaan Bayaran Bantuan Khas Kewangan yang diumumkan baru-baru ini, beliau tidak layak menerima bayaran tersebut berdasarkan syarat yang menetapkan bahawa sesorang pegawai perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari dari tempoh 1 Januari hingga 13 Mei," kata MBPP.