Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ubah sistem pilihan raya beri manfaat pada semua parti'

Umno dan PAS dapat diyakinkan untuk menyokong perubahan sistem pilihan raya adalah dengan meyakinkan mereka bahawa tiada parti yang mempunyai kedudukan politik yang stabil pada masa ini, kata penganalisis politik Wong Chin Huat.

Menyokong agar Malaysia menggunakan sistem perwakilan berkadar seperti Jerman, Wong berkata sistem itu lebih selamat untuk semua parti politik berbanding sistem "first-past-the-post" yang diguna pakai sekarang.

"Jika perwakilan berkadar akan menghalang kerjasama Umno dan PAS, mengapa mereka perlu menyokongnya?

"Saya bukan mahu mengusahakan apa-apa keputusan, saya cuma berkata yang sekarang, tiada siapa yang memiliki kelebihan.

"Maka lebih baik mereka memilih sistem yang lebih selamat (iaitu perwakilan berkadar)," katanya kepada pemberita selepas berucap dalam sebuah forum di Universiti Sunway hari ini.

Menyifatkan sistem perwakilan berkadar seperti membeli insurans, Wong menjelaskan di bawah sistem itu, parti politik yang kalah tidak akan kalah seluruhnya, pada masa sama pihak yang menang tidak akan dapat memaksimumkan kemenangan yang diraih.

Wong Chin Huat

Malah, katanya lagi, parti yang kalah mungkin berpeluang diundang menyertai kerajaan selagi tidak memiliki pandangan yang terlalu ekstrem.

"Dalam berjudi hanya ada satu pemenang. Semua yang lain kalah. Jika anda beruntung, saya tidak mampu pujuk anda untuk berhenti berjudi kerana ia bertentangan dengan kepentingan anda.

"Tetapi jika keadaan tidak tentu, lebih selamat untuk semua pihak membeli insurans untuk perlindungan. Anda tidak boleh memaksimumkan kemenangan tetapi akan ada perlindungan," katanya lagi.

Malaysia mengamalkan sistem first-past-the-post Westminster, di mana calon yang mendapat undi paling banyak menang.

Sistem berkadar Jerman pula kombinasi first-past-the-post dan perwakilan berkadar untuk parti, di mana pengundi membuat dua undian, iaitu untuk wakil kawasan dan juga parti pilihan.

Wong berkata, untuk menjadikan parti politik di Malaysia agar lebih sederhana, negara perlu beralih daripada sistem first-past-the-post yang disifatkan sebagai "pemenang menang semua" (winner takes all).

Menurutnya, Umno dan PAS semakin ke kanan pada masa ini matlamat jangka pendek mereka hanyalah untuk menjatuhkan kerajaan, dan selepas pilihan raya baru mencapai persetujuan dengan parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan persekutuan.

"Jadi tindakan Umno-PAS adalah sangat rasional dari sudut pandang mereka, tetapi mungkin tidak begitu bagus untuk negara. Tetapi jika saya presiden PAS atau Umno, kemungkinan besar saya juga akan bertindak sedemikian.

"Jadi anda perlu ubah struktur insentif, dan bercakap tentang sistem perwakilan berkadar adalah untuk mengelakkan parti menjadi begitu ekstrem untuk mereka menang," katanya lagi.

Katanya, sistem first-past-the-post pada mulanya untuk memastikan dua parti sederhana saling bersaing di tengah-tengah spektrum politik.

Lihat Komen
ADS