Kementerian Kesihatan arah taska di S'wak ditutup
Sebanyak 488 taska yang berdaftar di Sarawak diarah ditutup serta-merta selama dua minggu berikutan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HMFD) di kalangan kanak-kanak di negeri itu.
Sebanyak 488 taska yang berdaftar di Sarawak diarah ditutup serta-merta selama dua minggu berikutan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HMFD) di kalangan kanak-kanak di negeri itu.
Arahan tersebut dibuat oleh Kementerian Kesihatan kerana penyakit khaki dan mulut telah meningkat dengan ketara di Sarawak.
Menterinya, Datuk Dr Chua Soi Lek berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan.
Setakat ini, katanya, hanya 32 buah taska telah diarah ditutup.
"Tindakan ini diambil bagi memutuskan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut yang meningkat dengan ketara di Sarawak," katanya kepada pemberita dalam sidang media khas mengenai penyakit itu di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, peningkatan kes mula dikesan di Sibu, kemudiannya diikuti Kuching, Bintulu dan Miri.
Bernama memetik Chua sebagai berkata trend kes HFMD di Sarawak didapati berlaku setiap tiga tahun bermula pada tahun 1997, 2000, 2003 dan pada awal tahun ini.
"Bilangan kes dari 1 Januari 2006 hingga 18 Februari lalu sudah ada 942 kes berbanding hanya 270 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu," katanya.
Tiga kematian
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan ialah tiga kematian disyaki akibat penyakit HFMD berlaku di Sibu tahun ini, dengan kes kematian terbaru dua hari lalu.
"Satu daripadanya positif Enterovirus 71 (EV71) dan EV71 itu juga yang menyebabkan kematian semasa kejadian berlaku pada tahun 1997," katanya.
Sehubungan itu, Chua berkata, tindakan menutup taska itu bagi memutuskan transmisi jangkitan penyakit itu secara berkesan dan memudahkan kerja pembersihan dijalankan di premis tersebut.
"Penyakit ini dijangkiti melalui air liur dan najis daripada mereka yang berpenyakit. Air liur merupakan kaedah untuk transmisi," katanya.
Di samping itu, katanya aktiviti pendidikan kesihatan kepada pengendali taska, ibu bapa dan orang ramai diadakan bagi memastikan mereka tidak panik dengan peningkatan kes penyakit HFMD.
Tanda-tanda penyakit
"Sebenarnya soal kebersihan yang paling penting seperti menjaga kebersihan diri sendiri iaitu dengan membasuh tangan selepas ke tandas dan juga menjaga kebersihan anak-anak mereka kerana ini merupakan penyakit jangkitan di kalangan kanak-kanak yang berusia kurang daripada 10 tahun," katanya.
Beliau turut menasihati ibu bapa yang mendapati anak-anak mereka mempunyai tanda seperti demam, ulser dan sakit kerongkong, perlu mendapatkan rawatan dengan segera.
"Penyakit ini biasanya berlaku dalam tempoh tiga hingga lima hari. Kematian adalah disebabkan komplikasi antaranya termasuk inflamasi jantung dan kadangkala meningitis," katanya.
Chua berkata masalah timbul apabila ibu bapa membenarkan anak-anak mereka yang dijangkiti HFMD bergerak aktif yang boleh menyebabkan mereka menghadapi komplikasi seperti inflamasi jantung.
"Ini yang menjadi penyebab utama kematian. Lazimnya ia tidak ada komplikasi dan biasanya ia akan pulih dalam tempoh tiga hingga lima hari.
"Yang penting rehat, berikan ubat untuk menurunkan demam, minum air dan jaga kebersihan. Rawatan ini mudah dan tidak rumit," katanya.

