Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan melantik dua pelajarnya sebagai pemerhati terlebih dahulu, sebelum dibuka ruang menjadi Anggota Senat universiti itu, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Naib Canselornya Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata pendekatan itu diambil, memandangkan pelantikan secara langsung Anggota Senat dalam kalangan pelajar, memerlukan semakan semula perlembagaan universiti.

"Pelantikan pemerhati adalah lebih mudah untuk membuka jalan kepada usaha melantik pelajar sebagai Anggota Senat pada masa hadapan.

"Pada dasarnya kita tidak ada masalah untuk melantik pelajar sebagai Anggota Senat, dan kita memang ada perancangan, cuma kita perlu terlebih dahulu meneliti perlembagaan universiti dan sebaik sahaja perkara ini jelas, kita boleh terus lantik mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Kelab Media Darulnaim (Kemudi) bersama UMK di Rumah Wartawan di Kota Bharu, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim.

Noor Azizi berkata demikian bagi mengulas tindakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang melakar sejarah, apabila menjadi universiti awam pertama yang melantik dua pemimpin pelajarnya, sebagai Anggota Senat manakala dua lagi sebagai pemerhati.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu dan bersetuju bahawa dua pemerhati yang akan dilantik adalah Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua MPP.

"Keutamaan kita adalah MPP, tetapi kalau pihak mereka sendiri mahu lantik orang luar, kita serahkan sahaja keputusan kepada mereka, namun tetap perlu ada seorang wakil dari MPP dalam Senat," katanya.

Sementara itu katanya pelantikan pelajar dalam Senat akan memberi peluang kepada mereka melihat perjalanan Senat serta memahami apa yang dibincangkan.

Katanya pelantikan itu juga akan membuka ruang kepada pelajar menyuarakan pendapat, bagi mewakili pelajar lain dan perkara itu dilihat mampu memberi impak yang lebih baik kepada pembangunan keseluruhan penuntut universiti itu.

-- Bernama