Nuklear: Presiden Iran tuduh layanan terhadap negara itu bermotif politik
Presiden Iran Dr Mahmoud Ahmadinejad menuduh layanan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadap Iran dalam isu nuklear adalah bermotifkan politik.
Presiden Iran Dr Mahmoud Ahmadinejad menuduh layanan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadap Iran dalam isu nuklear adalah bermotifkan politik.
Katanya, ini kerana peraturan pemantauan nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta perlindungan dan Perjanjian Pengawalan Nuklear (NPT) secara rasminya mengiktiraf hak negara anggota untuk mempunyai akses kepada teknologi nuklear aman.
"Layanan IAEA terhadap Iran adalah bermotifkan politik. Yang dikesali ialah kebanyakan organisasi antarabangsa telah bertukar menjadi organisasi politik dan pengaruh kuasa besar menghalang mereka daripada mengambil keputusan yang adil dan mengikut undang-undang," katanya dalam syarahan bertajuk "Isu-isu Penting Antarabangsa dan Peranan Dunia Islam" di Kuala Lumpur.
Pemimpin Iran itu mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia yang berakhir hari ini. Syarahan itu yang dianjurkan oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, pegawai kanan kerajaan dan diplomat.
Dr Ahmadinejad melemparkan tuduhan tersebut ekoran Iran dan Rusia yang dilaporkan gagal mencapai sebarang kata-sepakat dalam rundingan bagi kerjasama perusahaan uranium di Rusia. IAEA akan bermesyuarat Isnin ini bagi memutuskan sama ada akan merujukkan Tehran ke Majlis Keselamatan PBB bagi tindakan lanjut.
"Misi utama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di dunia ialah memastikan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Namun, apa yang kita lihat, daripada mengambil tindakan terhadap penindas dan menghentikan perbuatan membuli, mereka meminta mangsa berdiam diri terhadap hak mereka," katanya.
Menurut laporan Bernama, Dr Ahmadinejad turut mengulangi pendirian Tehran yang yakin bahawa isu nuklear itu boleh diselesaikan menerusi dialog dan rundingan, tetapi menegaskan, Iran bersedia menghadapi sebarang konfrontasi dan tekanan yang dikenakan terhadapnya.
'Dipaksa ikut telunjuk'
"Kami sebuah negara yang amat kuat. Kuasa kami datang daripada tamadun, budaya dan pegangan kami," katanya kepada para hadirin sewaktu menjawab soalan daripada seorang peserta.
Amerika Syarikat dan negara barat lain, telah menuduh Iran menggunakan program nuklearnya untuk membangunkan senjata nuklear . Iran bagaimanapun menafikannya sambil menegaskan bahawa negara itu mempunyai hak untuk membangunkan tenaga nuklear bagi tujuan aman.
Menurut Dr Ahmadinejad lagi, Amerika dan sekutunya telah mempergunakan senjata atomnya untuk menakut-nakutkan kerajaan dan negara yang tidak memiliki senjata atom supaya terpaksa mengikut telunjuk mereka.
Mengenai Islam, Dr Ahmadinejad berkata ia merupakan agama yang mengutamakan keamanan dan toleransi.
"Malangnya, media Barat, menerusi dasar setara, secara tidak realisitik cuba menggambarkan Islam sebagai agama yang ganas. Ekoran itu, umat Islam menghadapi tekanan psikologi, diganggu dan dihina," katanya.
Menurutnya lagi, negara-negara di Asia Barat sentiasa hidup dalam keadaan diancam Israel dan terpaksa menanggung banyak penderitaan.
"Tetapi dominasi dan buli tidak akan terus berlarutan. Negara-negara tidak lagi bertolak ansur dengan kezaliman dan gangguan dan membantah perbuatan itu," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.