Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu e-kelui belum cukup dilindungi, kata KPePM

Beberapa kejadian jenayah - termasuk melibatkan kehilangan nyawa - sepatutnya cukup untuk membuat syarikat pengedali perkhidmatan e-kelui (e-hailing) mengemas kini aplikasi mereka agar bantuan boleh diperolehi dalam keadaan kecemasan.

Pengerusi Komuniti Pemandu e-hailing Penggerak Malaysia (KPePM) Zulkifli Zainuddin berkata ketika ini sesetengah syarikat e-kelui hanya memaparkan nombor 999 pada aplikasi mereka.

Jika berlaku kecemasan, katanya, pemandu perlu menghubungi sendiri pihak berkuasa.

“Kalau ketika itu parang sudah di tengkuk, apa gunanya lagi?" katanya.

Justeru kata Zulkifli syarikat pengendali perkhidmatan e-kelui wajar menyediakan kemudahan lebih pantas dan cekap bagi membolehkan pemandu dibantu jika berdepan dengan jenayah.

“Kita mahu biar ada butang kecemasan yang boleh memaklumkan kepada polis di mana mereka berada ketika itu.

"Kemudahan yang ada sekarang ni, untuk panggil bantuan menukar tayar bolehlah,” katanya.

Tempoh seminggu dua

Zulkifli dan anggota KPePM ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini untuk membuat aduan agar syarikat terbabit segera menyediakan kemudahan seperti yang diharapkan.

Selasa lalu mayat seorang pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaafar, 27, ditemui di kawasan semak dekat pantai Kampung Shahbandar, Tuaran, Sabah.

Mangsa dipercayai disamun dan dibunuh sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.

Susulan daripada itu, dua individu termasuk seorang warganegara asing ditahan bagi membantu siasatan.

Pada 21 Jun tahun lalu, seorang lagi pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, ditemui mati di tempat duduk belakang keretanya.

Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas dipercayai kerana ditekup menggunakan baju T miliknya.

Kejadian itu membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing warga Myanmar dan India.

Pada April lalu pula seorang wanita pemandu Grab turut berhadapan detik cemas apabila dicabul dua lelaki warganegara asing.

Kata Zulkifli KPePM sudah menyuarakan cadangan itu kepada syarikat pengendali perkhidmatan e-kelui namun sehingga kini tiada tindakan susulan dibuat.

Sementara itu, Zulkifli berkata, KPePM akan terus menggesa pihak berkenaan bertindak segera bagi menangani masalah tersebut.

“Kami mahu dalam tempoh satu atau dua minggu ini syarikat terbabit mengkemas kini data penumpang dan kemudahan kecemasan.

"Kita akan sentiasa buat susulan sampai tindakan diambil sebab kita tak mahu pemandu dibunuh, rompak dan dicabul atau seumpamanya,” katanya.

Lihat Komen
ADS