3 suspek pengganas ditahan polis
Seorang lelaki tempatan dan dua rakyat asing disyaki yang terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam kenyataan hari ini berkata lelaki terbabit yang berusia antara 28 dan 42 tahun ditahan dalam operasi polis sejak Jumaat lepas hingga hari ini.
Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan lelaki tempatan berusia 42 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 17 Mei ketika dia hendak berlepas ke Mesir sebelum seterusnya menyusup masuk ke Syria.
Menurutnya lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu juga berbaiah sebanyak dua kali dengan pemimpin kumpulan pengganas Daesh Abu Bakar al-Baghdadi melalui Facebook.
“Suspek berpegang kuat kepada ideologi salafi jihadi apabila menolak sistem demokrasi berparlimen, tidak mengiktiraf kerajaan Malaysia dan institusi agama yang dilabelkan sebagai kafir… mana-mana umat Islam yang terlibat dalam pilihan raya juga dilabel sebagai kafir dan boleh dibunuh,” katanya.
Abdul Hamid berkata tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki Indonesia yang bekerja sebagai buruh kasar di Keningau Sabah.
Beliau berkata lelaki berusia 20 tahun itu disyaki bertindak sebagai pemudah cara kepada kumpulan pengganas di Indonesia yang transit di Sabah sebelum berlepas ke Selatan Filipina bagi melancarkan serangan bunuh diri.
Buru seorang suspek lagi
“Suspek juga menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute di Selatan Filipina serta merancang untuk berjihad di Syria,” katanya.
Abdul Hamid berkata tangkapan ketiga melibatkan seorang lelaki Bangladesh berusia 28 tahun yang ditahan hari ini di Kuala Kedah, kerana disyaki menyokong kumpulan pengganas Islamic State Bangladesh.
Menurutnya lelaki yang bekerja sebagai pembantu mekanik enjin kapal itu turut memiliki bahan serta kepakaran untuk menghasilkan jerangkap rekaan elektrik (IED).
Katanya semua suspek ditangkap mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Sementara itu, menurut Abdul Hamid, polis juga sedang mengesan seorang lagi anggota kumpulan Daesh Indonesia yang dikesan transit di Sabah sebelum berlepas ke Selatan Filipina.

Beliau berkata lelaki yang dikenali sebagai Marwan itu berusia lingkungan 30-an dan berasal dari Indonesia dengan alamat terakhirnya ialah di Kampung Keritan Laut, Keningau, Sabah.
Abdul Hamid berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Razizuan Mohd Razali di talian 017-3278435 atau balai polis berhampiran.
“Mana-mana individu yang didapati menyembunyikan maklumat atau bersubahat atau melindungi individu berkenaan boleh dituduh mengikut Seksyen 130M, 130K dan 130L Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara tujuh hingga 30 tahun,” katanya.
- Bernama

