Boeing sedia bantu MAS kembali untung
Boeing sedia membantu Malaysia Airlines menjayakan rancangan pemulihan perniagaannya yang bertujuan mengembalikan keuntungan kepada syarikat penerbangan nasional itu menjelang 2007.
Boeing sedia membantu Malaysia Airlines menjayakan rancangan pemulihan perniagaannya yang bertujuan mengembalikan keuntungan kepada syarikat penerbangan nasional itu menjelang 2007.
Naib Presiden Jualan Boeing Commercial Airplanes, Dinesh Keskar berkata, satu pasukan Boeing akan berada di Malaysia selepas pembuat pesawat udara itu mengkaji rancangan penyusunan semula itu dengan terperinci.
Bercakap dalam satu temubual melalui telefon selepas berakhirnya Pameran Aeroangkasa Asia di Singapura baru-baru ini, beliau berkata: "Kami (pastinya) mahu membantu Malaysia Airlines mencapai kemajuan dengan rancangan (pemulihan perniagaan) mereka."
Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2006, Malaysia Airlines dijangka mengalami kerugian sebanyak RM1.7 bilion tetapi ia diramalkan pulih dalam 2007 dengan keuntungan kecil sebanyak RM50 juta.
Menurut laporan Bernama, syarikat penerbangan nasional itu menyasarkan keuntungan terbesar dalam sejarahnya iaitu sebanyak RM500 juta pada 2008.
Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Idris Jala, pernah berkata syarikat penerbangan itu akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan dan kemampuan dalam tahun 2007 manakala dalam tahun 2008 tumpuannya adalah kepada peluang-peluang pertumbuhan baru.
Mengenai prestasi Boeing di pameran Aeroangkasa Asia itu, Keskar berkata, syarikatnya telah mencapai semua matlamat yang disasarkannya pada acara tersebut.
Katanya, selain mengambil peluang untuk memperkukuhkan penjenamaannya dalampameran itu, Boeing juga memuktamadkan satu perjanjian dengan SpiceJet, syarikat penerbangan tambang murah terbaru India, bagi pembelian sepuluh pesawat Next Generation B737 (lima 737-800 dan lima 737-900ER).
Keskar berkata. pesawat 737 terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pasaran penerbangan India yang pesat berkembang.

