Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Osman beri markah 5 untuk exco Johor pimpinannya

WAWANCARA | Berdasarkan tempoh 11 bulan menjadi menteri besar Johor, Adun Kempas, Osman Sapian berpendapat barisan exconya boleh diberi markah di bawah lima daripada 10 mata keseluruhan.

Walaupun agak rendah, Osman berkata, markah itu masih boleh dianggap lulus kerana exco yang dilantik adalah muka-muka baru dalam kerajaan.

Menurut Osman, markah penilaian terlalu tinggi tidak munasabah diberikan kerana kerajaan PH baru mengambil alih kuasa daripada BN yang memerintah sejak lebih 60 tahun lalu.

“Kira luluslah. Kita boleh bagi bawah lima markah, kalau melebihi sampai tujuh atau lapan mata, ia adalah kerterlaluan, kecualilah mereka dah (memegang portfolio) tiga hingga empat tahun.

"Mereka sepatutnya perlu agresif untuk memenuhi rancangan saya dari sektor digital, perlaburan, pelancongan dan lain-lain," katanya dalam satu temu bual khas dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, Osman berkata sebenarnya beliau mahu memberikan markah empat mata kepada barisan exconya.

“Untuk exco pada era saya, saya boleh bagi empat markah sebab baru tempoh setahun, masih banyak lagi perlu mereka pelajari dan banyak visi belum dicapai.

“Jikalau melebihi tiga tahun, baru kita boleh nampak (prestasi sebenar) kerana exco bukan berpengalaman sangat.

"Markah empat tu dah kira baik,” katanya.

Tak patut rasa sesal

Ditanya sama ada beliau kecewa kerana tidak dapat meneruskan tugas sebagai menteri besar, Osman berkata beliau yakin masih mampu menerajui kerajaan PH jika terus diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.

Bahkan, kata Adun Kempas itu lagi, beliau berada di kedudukan sebagai pemimpin kerajaan negeri bukan semata-mata kerana mahukan kuasa atau jawatan.

“Tetapi saya cuma mahu supaya parti baru setahun jagung ini kuat dan mampan serta mendapat sokongan pengundi, dan saya boleh meneruskan tradisi saya," katanya.

Pun begitu kata Osman beliau tidak berkecil hati kerana digugurkan untuk memberi laluan kepada Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal, mengambil alih tugas sebagai menteri besar baru-baru ini.

Tambahan pula, katanya, Sahruddin adalah orang yang memahami visi beliau sebelum ini.

“Perasaan menyesal tidak patut ada dalam diri seorang ahli politik, sebab apa-apa pun boleh berlaku. Kita berusaha tapi tuhan yang tentukan," katanya.

Selama menjadi menteri besar, Osman berkata, ada banyak kejayaan dicapai di Johor, misalnya menyelesaikan sebahagian isu air dan memberi keyakinan dalam kalangan penjawat awam terhadap kerajaan PH.

“Saya dapat selesaikan hutang air berjumlah RM300 juta dan ia gagal diselesaikan dua menteri besar terdahulu.

"Sekarang hutang ini ditukar kepada geran.

“Saya juga dapat meyakinkan penjawat awam untuk menyokong kerajaan pada hari ini.

"Saya pernah duduk dalam kerajaan, saya kenal mereka, kalau ada masalah saya bekerjasama dengan mereka, itu salah satu pencapaian," katanya.

Hubungan tak ada masalah

Sebelum menyertai Bersatu, Osman ialah pemimpin Umno dan menjadi Adun Kempas dari 1999 hingga 2013.

Selepas menyertai Bersatu beliau dilantik sebagai pemangku pengerusi PH Johor dan Pengerusi Bersatu Johor sehinggalah meletak jawatan sebagai menteri besar pada 8 April lalu.

Mengenai hubungan di antara istana Johor dengan kerajaan Persekutuan, Osman berkata perkara tersebut sebenarnya tidak timbul, sebaliknya dimaiknkan oleh Umno.

Katanya, Umno mahu melaga-lagakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan pihak istana.

“Dr Mahathir sendiri cakap beliau tak ada masalah dengan keluarga diraja Johor, itu kenyataan dia.

"Umno sekarang jadi pembangkang, dia suka melaga-lagakan orang.

"Semasa saya menjadi menteri besar, saya selalu berkomunikasi dengan pihak istana dan Putrajaya, semuanya dalam keadaan baik," katanya.

Osman menjelaskan selepas tidak lagi menjadi menteri besar pun hubungan beliau dengan pihak istana kekal dalam keadaan baik.

Malah katanya baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pernah bertemu dengan beliau beberapa kali, selain berhubung melalui telefon.

Pada masa sama, katanya, hubungan dengan Mahathir dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga dalam keadaan baik.

"Saya ada berjumpa dengan Muhyiddin dan kami berbual-bual dua jam... tak ada apa-apa pun,” katanya.

Lihat Komen
ADS