rencana - bhgn dua

Kalangan pemimpin pelajar berpendapat, isu pelajar militan sengaja diperbesarkan dan diberi tumpuan khusus kerana ia akan menyokong pindaan kepada Akta Kolej dan Kolej Universiti (Auku) Oktober nanti.

Ini berikutan laporan akhbar yang mendakwa "adanya campur tangan parti pembangkang dalam gerakan pelampau agama di universiti-universiti tempatan."

"Untuk memperketatkan akta itu perlu ada isu, maka apa yang berlaku sekarang ada unsur ke arah itu (pindaan akta)," kata Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM) Mohd Nasri Muarat.

Beliau menjangka pindaan itu mungkin membabitkan seksyen 48 (1) Auku. Di bawah seksyen itu sekarang, pelajar di universiti dibenarkan menubuhkan kesatuan pelajar (MPP) melalui pemilihan yang dijalankan secara demokrasi.

"Jika perkara itu dipinda mungkin hak bersuara dan (sistem) demokrasi yang ada pada pelajar akan hilang, hak pelajar akan terabai," tegasnya.

Menurut Nasri, pengaruh PMI di universiti kini semakin kuat kerana pelajar sendiri lebih mempercayai kredibiliti persatuan dalam menyelesaikan masalah mereka.

"PMI mewakili persatuan pelajar Islam dan secara tidak langsung turut mewakili pelajar Melayu.Oleh kerana itu ia menjadi tempat rujukan utama pelajar ini (Melayu). Tambahan pula kebanyakan persatuan di kampus tidak seaktif PMI," katanya.

Utusan Malaysia sejak 1 September lalu, melaporkan pendedahan seorang bekas pelajar UTM, Wan Noor Hayati Wan Alias yang mendakwa gerakan bawah tanah secara tersusun wujud di universiti-universiti tempatan dengan menggunakan PMI dan dua pertubuhan tidak berdaftar, Hizbi Islami (HI) dan Markaz Siswazah Kelantan, bagi menanam sentimen membenci kerajaan.

Kemudian dalam laporan lain, Wan Noor Hayati mendakwa program anjuran PMI di UTM didalangi oleh ahli kumpulan HI yang menyokong PAS. Beliau juga mendakwa masjid di universiti itu digunakan sebagai tempat membincangkan gerak kerja dan perang saraf parti pembangkang.

Sebagai reaksi kepada pendedahan bekas pelajar berusia 22 tahun itu, sumber dari universiti berkenaan berkata: "Apa yang berlaku kepada Wan Noor Hayati adalah lebih kepada kesalahan diri sendiri.. Ramai pelajar di sini (UTM) tidak percaya dan tidak begitu mengambil kisah mengenainya."

Sementara itu, timbalan presiden Persatuan Pemuda Negara Malaysia (PPNM), Ezaruddin Abd Rahman berkata beliau menerima aduan daripada mahasiswa yang mendakwa penubuhan PMI tidak relevan lagi disebabkan gerakan mereka seolah-olah memecahkan perpaduan.

"Kebanyakan agenda yang mereka perjuangkan tidak banyak membawa kebaikan kepada mahasiswa, sebaliknya menyeru mahasiswa (agar bersifat) antikerajaan dan bertindak militan," katanya.

PPNM, yang pernah mendedahkan Jun lalu mengenai kewujudan 10 persatuan pelajar yang tidak berdaftar Jun lalu, juga meminta kerajaan "menyelongkar" kegiatan PMI yang didakwa mempunyai hubungan dengan PAS dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Bagaimanapun seorang pemimpin dalam PMI memberitahu malaysiakini bahawa pembubaran persatuan itu berkemungkinan untuk memberi laluan kepada penubuhan sebuah persatuan berunsur Islam -- Akademi Mahasiswa Islam Nasional (Amin).

"Sekarang (persatuan) Wawasan yang prokerajaan mula diwujudkan di beberapa universiti . Mungkin tidak lama lagi Amin pula ditubuhkan," kata pelajar itu. .Dakwaan mengenai penubuhan Amin itu pernah disuarakan oleh presiden PAS Datuk Fadzil Noor baru-baru ini.

"Ada ura-ura pihak tertentu dalam kerajaan dan penguasa universiti mewujudkan satu pertubuhan lain yang diberi nama Amin yang diterajui oleh pihak pemerintah bagi cuba mengambil alih inisiatif Islam ini." katanya.

"Sebenarnya pengaruh politik dalam kampus tidak boleh nafikan. Bukan hanya parti pembangkang tetapi juga yang prokerajaan. Tapi kebanyakan persatuan yang disokong oleh parti prokerajaan ini jarang mendapat sokongan atau penyertaan pelajar," kata sumber itu.

"Pelajar kini bangun (bersuara) kerana sememangnya wujud beberapa perkara yang mereka tidak puashati, contohnya soal bayaran pinjaman dan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA)," katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Mahadi Sukarno menyifatkan keputusan membubarkan persatuan itu sebagai satu tindakan yang "adil kepada pelajar."

"Jika persatuan untuk pelajar Islam itu dibubarkan bermakna persatuan yang bersifat keagamaan lain sepatutnya turut dibubarkan," katanya.

"Banyak dakwaan yang tidak baik telah dilemparkan kepada pelajar sejak akhir-akhir ini seperti terbabit dengan kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC), gerakan bawah tanah, militan dan sebagainya tetapi belum sebarang bukti dikemukakan," tambahnya.

Mahadi juga mengesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu berkaitan pelajar sekarang.