Harga saham DiGi jatuh selepas gagal dapat lesen 3G
Harga saham DiGi Telecommunications Bhd penyedia perkhidmatan telefon mudah alih terkecil di negara ini jatuh mendadak selepas syarikat itu gagal mendapat lesen spektrum generasi ketiga (3G).
Harga saham DiGi Telecommunications Bhd penyedia perkhidmatan telefon mudah alih terkecil di negara ini jatuh mendadak selepas syarikat itu gagal mendapat lesen spektrum generasi ketiga (3G).
Pada sesi penutup, saham DiGi susut 90 sen atau 10.29 peratus kepada RM7.80 dengan jumlah dagangan sebanyak 17.72 juta saham. Pada penutup tengah hari, harga saham berada pada RM8.80.
Harga saham mula turun pada sesi tengah hari sejurus selepas Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengumumkan penerima lesen 3G.
Satu siaran akhbar dari Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi hari ini mengumumkan pengendali televisyen berbayar baru MiTV Corporation Sdn Bhd dan TTDotcom Sdn Bhd, unit Time dotCom Bhd, merupakan dua pemohon yang diberikan lesen 3G itu.
Saham Time dotCom ditutup pada 65 sen, naik 18 sen manakala syarikat induknya, saham Time Engineering Bhd menokok sembilan sen kepada 39 sen. Kedua-duanya adalah antara 10 kaunter paling cergas. Time Engineering Warrants naik 1.5 sen kepada 2.5 sen.
Bagaimanapun, menurut laporan Bernama, peserta yang berjaya diminta bekerjasama dengan DiGi dan penyedia perkhidmatan lain sebagai pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO).
Sementara itu, DiGi berkata, syarikat itu akan mendapatkan penjelasan segera daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tentang pemberian spektrum 3G yang diumumkan hari ini.
Katanya, ia belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi mengenai perkara itu.
"Kami akan merasa amat hairan dengan keputusan sedemikian, jika sah keputusan itu dibuat, dan kami akan segera meminta penjelasan daripada MCMC mengenai perkara ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Morten Lundal, dalam satu kenyataan hari ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.