Kenyataan keras Singapura terhadap Malaysia berhubung keputusan kerajaan meneruskan pembinaan jambatan separuh bagi menggantikan Tambak Johor di sebelah negara ini, menunjukkan republik itu tidak mahukan sebarang penyelesaian dua hala yang sedang berjalan ketika ini, kata Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Datuk Shahrir Samad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, Kerajaan Singapura tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan dan ancaman terhadap Malaysia berhubung perkara tersebut.

"Saya dan juga penduduk Johor Bahru amat kecewa dengan cara Singapura yang mengeluarkan kenyataan seperti mengugut dan mengancam kita (Malaysia) sedangkan rundingan (di antara kedua-dua negara) sedang berjalan.

"Ia (kenyataan Singapura itu) adalah amat keterlaluan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan di bawah Skim Bantuan Tekun Parlimen Johor Bahru kepada 19 penerima hari ini.

Shahrir menyifatkan kenyataan Menteri Luar Singapura George Yeo di Parlimen republik itu "sebagai tidak menunjukkan sikap yang baik bagi sebuah negara yang secara fizikalnya merupakan jiran rapat kepada Malaysia".

Menurut laporan Bernama, semalam, George Yeo mengulangi kebimbangan negaranya terhadap sebarang langkah Malaysia untuk meroboh tambak di sebelah bahagiannya dan menggantikan dengan jambatan separuh akan membawa implikasi yang serius.

Beliau berkata perkara itu telah dijelaskan oleh Singapura kepada Kuala Lumpur menerusi nota pihak ketiga.

Tiada penyelesaian

Yeo membuat kenyataan itu sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh anggota parlimen semasa membahaskan Bajet 2006 pada persidangan Parlimen negara itu yang sedang berlangsung.

Januari lalu, Kuala Lumpur mengumumkan bahawa ia akan meneruskan pembinaan jambatan separuh di sebelah bahagian Tambak Johor dan akan dikenali sebagai "jambatan indah."

Shahrir berkata walaupun Menteri Luar Singapura itu Khamis menyatakan rundingan kedua-dua negara akan terus berjalan, tetapi beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) berpendapat ia tidak akan menemui sebarang penyelesaian.

"Ia tidak akan menemui sebarang jalan penyelesaian kerana Singapura akan terus meminta sesuatu yang kita (Malaysia) tidak boleh beri kepadanya iaitu pasir dan penggunaan ruang udara Johor bagi pesawat tenteranya (sebelum bersetuju terhadap cadangan Malaysia untuk membina jambatan baru di Tambak Johor)," katanya.

Beliau berkata kenyataan berbentuk ancaman dan ugutan oleh Singapura itu merupakan isyarat jelas kepada kerajaan Malaysia bahawa republik itu sememangnya tidak akan bersetuju dengan cadangan negara untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.

"Ia bagaikan meletak pistol ke kepala seseorang dan memaksanya untuk berkata ya," menurut Shahrir.