Harga petrol dan diesel bagi dua minggu akan datang sempena perayaan Hari Raya nanti kekal sehingga harga baru diumumkan pada 14 Jun.

Menurut Kementerian Kewangan, harga petrol RON97 turun sebanyak 13 sen mulai jam 12 tengah malam ini menjadikan bahan api itu kini berharga RM2.63 seliter, berbanding RM2.76 seliter minggu lalu.

Harga RON95 dan diesel pula kekal tidak berubah dari minggu lepas, masing-masing pada harga RM2.08 dan RM2.18 seliter.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, katanya, harga runcit RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing sebanyak RM2.33 seliter dan RM2.40 seliter.

"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Harga baru ini berkuat kuasa untuk selama dua minggu.

"Selepas 14 Jun, penetapan harga runcit produk petroleum ini akan kembali kepada asal di mana penetapan akan dibuat secara mingguan,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian, ​​​​​​​penurunan RON97 adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses dalam pasaran dunia menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.

“Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 1 Jun sehingga 14 Jun adalah berjumlah RM165.27 juta,” katanya.