Kerajaan tidak akan mengambil langkah-langkah menyelamat Malaysia Airlines (MAS) yang memerlukan kira-kira RM4 bilion bagi rancangan pemulihannya.

"Dan sebarang tawar menawar mengenai sokongan kewangan yang dimintanya akan diberikan "layanan biasa", kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Azman Mokhtar.

"Ia tidak akan diberikan layanan istimewa. Kami tentunya mahu mendapat sedikit untung daripadanya," katanya mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri kerajaan akan memberi sokongan kepada MAS tetapi tidak mengambil langkah-langkah menyelamat.

Bagi menjana RM4 bilion tersebut, MAS memohon pembiayaan RM2 bilion daripada kerajaan manakala RM1 bilion akan dikumpul dari sumber-sumbernya sendiri dan RM1 bilion lagi daripada pasaran modal.

Bernama memetik Azman sebagai berkata, kerajaan sedang menilai permintaan itu dan satu keputusan dijangka dicapai dalam tiga bulan akan datang.

"Jangan pegang cakap saya tentang itu (kerangka masa) sebab jika kita tengok rancangan pemulihan itu, jelaslah mereka memerlukan ini (pembiayaan) dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita.

Halatuju jelas

Azman berkata, bergantung kepada prestasinya, MAS mungkin tidak memerlukan kesemua RM2 bilion yang dimintanya daripada kerajaan itu kerana jumlah yang disebut itu merupakan keperluan pembiayaan keseluruhannya.

Sebelum itu beliau menjadi ahli panel perbincangan bertajuk "Pendekatan Baru Syarikat Berkaitan Kerajaan dalam Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana" anjuran Persatuan Pekilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia di sini Jumaat.

Sambil menyifatkan rancangan MAS itu mempunyai halatuju yang jelas, beliau berkata, MAS mempunyai produk yang hebat tetapi pengurusan kewangan dan hasilnya perlu dipertingkatkan dan untuk itu, kerajaan telah memberikannya ruang untuk mengambil langkah-langkah tegas.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAS, Idris Jala, berkata syarikat penerbangan itu ingin menyertai SkyTeam, perikatan udara global, sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memperkemaskan destinasi antarabangsanya di bawah konsep hub.

Beliau berkata MAS akan memulakan rundingan dengan SkyTeam minggu depan. SkyTeam, yang kini mempunyai sembilan anggota, adalah satu daripada tiga perikatan udara global utama yang membenarkan syarikat penerbangan anggotanya menggunakan rangkaian satu sama lain untuk menyediakan kemudahan penyambungan perjalanan tanpa sempadan bagi penumpang. Dua lagi perikatan lain ialah Star Alliance dan OneWorld.

MAS akan mengurangkan destinasi-destinasinya di Eropah dengan menggabungkannya menjadi empat hub atau laluan utama daripada 10 destinasi pada masa ini, kata Idris sambil menambah bahawa konsep hub memerlukan persetujuan dua hala yang baik.

Kaji laluan

Ditanya sama ada tempoh setahun adalah terlalu lama bagi melaksanakan perasionalan, Idris tidak bersetuju sambil berkata menyusun semula sesuatu rangkaian memerlukan masa kerana ia melibatkan perkara-perkara seperti saiz yang betul, mengkaji apa yang diperlukan penumpang dan laluan.

"Bila kita mahu menyusun semula satu-satu rangkaian, kita tidak boleh melakukannya dalam hanya sebulan," katanya sambil menegaskan bahawa MAS sudahpun ada orang yang diperlukannya untuk melaksanakan penyusunan semula itu dan tidak akan mengambil orang lagi.

Mengenai operasi domestik, Idris berkata MAS dan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, sedang sama-sama berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan bagi menaikkan tambang penerbangan domesti sebanyak 10 peratus.

Selain itu, MAS telah memohon kelulusan untuk menaikkan surcaj bahan api dan melaksanakan bayaran pentadbiran sebanyak RM14 bagi setiap penumpang, dan ini telahpun dikenakan oleh AirAsia, katanya sambil menambah syarikat penerbangan nasional itu sedang menunggu kerajaan membuat keputusan.

Idris berkata MAS juga mahukan kebebasan dalam menyusun semula operasi domestiknya dan membuat keputusan mengenai perkara-pekara seperti destinasi, kekerapan dan tambang dalam sektor domestik.

Kerajaan mempunyai objektifnya sendiri apabila ia mengambil keputusan untuk tidak mengurangkan laluan-laluan tertentu seperti perkhidmatan udara di kawasan pedalaman, tetapi MAS berpendapat jika ia meneruskan operasi di laluan-laluan yang tidak menguntungkan itu, perlu ada perbincangan mengenai subsidi kerajaan bagi laluan-laluan tersebut, tegasnya.