Fasa pertama program penyusunan semula laluan Malaysia Airlines (MAS) akan bermula 26 Mac ini.

Menurut syarikat penerbangan tersebut, fasa pertama itu akan membabitkan penyusunan semula kekerapan-kekerapan sedia ada:

* Penerbangan B747 sehala dua kali seminggu London-Langkawi-Kuala Lumpur;

* Penerbangan B747 sehala dua kali seminggu London-Penang-Kuala Lumpur;

* Penerbangan B747 sehala dua kali seminggu Sydney-Kuching-Kuala Lumpur;

* Penerbangana A330 pulang dua kali seminggu Kuala Lumpur-Kuching-Perth.

Dalam satu kenyataan semalam, MAS berkata, Mulai 26 Mac depan, penerbangan jarak jauh itu akan diselaras untuk beroperasi terus di antara Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan bandaraya London, Sydney dan Perth.

Menurut laporan Bernama, sebagai tambahan, penerbangan pulang B777 tiga kali seminggu sekarang, di antara Kuching-Kuala Lumpur-Frankfurt, akan beroperasi di antara Kuala Lumpur-Frankfurt mulai yang sama.

Sambungan serta-merta

MAS akan menggunakan perkhidmatan domestik Malaysia sedia adanya, di antara KLIA dan Langkawi, Pulau Pinang dan Kuching, untuk mengadakan sambungan serta-merta bagi penerbangan antarabangsa jarak jauh yang disusun semula.

Ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan perniagaan syarikat penerbangan itu bagi memfokus semula daripada syarikat pengangkutan sebahagian besarnya dari satu lapangan terbang ke satu lapangan terbang kepada pengangkutan sambungan berkelas dunia dengan hab utama di KLIA.

Memandangkan kepada realiti pasaran sedia ada, MAS berkata, operasi penerbangannya akan berubah secara beransur-ansur daripada rangkaian lapangan terbang ke lapangan terbang kepada satu rangkaian "hub and spoke" dengan itu meningkatkan dayasaingnya untuk menyambut sebanyak mungkin pasaran-pasaran teras di Malaysia dan antarabangsa.

Syarikat penerbangan itu menyiarkan pelan pemulihan perniagaannya pada 27 Februari 2006, yang bertujuan mencapai keuntungan mampan dengan menerokai melepasi jangkaan dalam lima tumpuan terbang untuk memenangi pelanggan, menguasai kecemerlangan operasi, membiayai dan melaraskan perniagaan atas keuntungan dan kerugian, membebaskan bakat dan keupayaan, dan memenangi gabungan-gabungan.

MAS kini beroperasi dalam kekerapan penerbangan antarabangsa seperti berikut Kuala Lumpur-London (18 penerbangan); Kuala Lumpur-Perth (9 penerbangan); Kuala Lumpur-Frankfurt (7 penerbangan); dan Kuala Lumpur-Sydney (14 penerbangan).

Tawaran AirAsia

Sementara itu, AirAsia Bhd berkata ia sedia mengambil alih lebihan pesawat dan kakitangan daripada MAS sekiranya cadangan mereka untuk mengambil alih lebih banyak laluan domestik daripada syarikat penerbangan nasional itu menjadi kenyataan.

"Ia sebenarnya bergantung kepada apakah kapasiti yang diberikan kepada kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu, Datuk Tony Fernandes, Jumaat.

AirAsia sanggup membeli empat hingga sembilan buah pesawat dan mengambil 200 hingga 1,000 kakitangan, katanya.

Beliau berkata jika kerajaan melaksanakan rancangan pengemasannya, AirAsia sanggup membeli lapan hingga sembilan pesawat.

"Memang ada tawaran untuk membeli kesemua pesawat 737-400 yang boleh menjana tunai yang banyak dan ini baik bagi rancangan pemulihan," katanya

"Mereka (MAS) tidak akan menghadapi masalah untuk menjualnya," katanya pada satu taklimat media mengenai isu itu semalam.