Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menyahut cabaran projek kereta nasional ketiga

ULASAN | Terdapat 4,500 bahagian terlibat dalam pembinaan sesebuah kenderaan biasa. Sama ada bahagian itu penting atau tidak, terdapat penanda aras bagaimana kereta itu direka.

Di sinilah, ketepatan dan ketelusan diperlukan dalam membincangkan mengenai industri kereta nasional ketiga ini.

Pertama, apabila yang ketiga diwujudkan, ini bermaksud yang dua sebelumnya telah mencapai matlamatnya, atau telah melebihi jangkaan - maka yang ketiga diperlukan.

Atau secara alternatifnya, kereta nasional pertama dan kedua mempunyai pelbagai ragam, lantas mendesak keperluan untuk mempunyai yang ketiga.

Bagi Proton mahupun Perodua, kejayaan kenderaan ‘nasional’ diukur daripada bagaimana kenderaan tersebut boleh dijual di pasaran antarabangsa.

Tiada pembuat kenderaan yang boleh berjaya hanya bergantung kepada pasaran domestik sahaja. Indonesia pernah bekerjasama dengan Kia dari Korea Selatan untuk membina kereta mereka sendiri.

Projek itu, yang dimulakan oleh Tommy Suharto tidak berjaya sama sekali, walaupun terdapat 269 juta rakyat yang boleh menjadi pembeli.

Malaysia hanya mempunyai lebih kurang 11.8 peratus sahaja daripada populasi Indonesia. Kekuatan sesebuah kereta nasional bergantung kepada eksport mereka ke luar negara.

Sekarang, Geely bekerjasama dengan Proton di Malaysia. Geely adalah pembekal terbesar kenderaan persendirian di China.

Pelaburan berterusan

Walaupun prestasi Geely adalah baik, dengan membeli Volvo dan membeli saham dalam Daimler Benz, ia masih berada di kedudukan keenam berbanding dengan semua pembuat kereta di China. Lima yang pertama semuanya disokong oleh kerajaan atau syarikat dimiliki kerajaan China.

Malaysia, dengan kereta nasional ketiga atau keempat, akan memasuki pasaran kompleks seperti itu.

Pertama, Malaysia perlu tahu kepada siapa dan di mana kereta Malaysia boleh dijual. Penyelidikan dan pemasaran berterusan akan menambahkan kos pengeluaran kereta.

Ia akan memaksa kerajaan Malaysia untuk campur tangan, sekiranya projek ini semakin gagal. Sebelum apa-apa keuntungan diperoleh dari kereta nasional ketiga, wang yang cukup banyak perlu dilaburkan secara berterusan.

Sudah tentu kemahiran yang akan diperoleh daripada rantaian ini cukup penting. Tetapi, kemahiran ini juga boleh diperolehi dengan menghantar 50,000 atau 100,000 jurutera ke Jepun sekarang, memandangkan industri pembuatan dan industri kereta di Jepun kini menghadapi kekurangan pekerja yang amat besar. Korea Selatan dan China juga mengalami fenomena yang sama.

Kekuatan PH adalah dalam menghapuskan lebihan kerajaan sebelum ini. Pentadbiran Najib Razak, contohnya, membelanjakan jutaan ringgit dalam perang media sosial, walaupun ini kebanyakannya boleh didapati secara percuma.

Pentadbiran Dr Mahathir Mohammad perlu tahu bahawa tiada manfaat dalam membuat perkara yang sama. Mencuba berulang kali tidak semestinya menzahirkan kejayaan.

Kemunculan kenderaan elektrik

Tidak boleh dinafikan bahawa industri automotif bagus untuk peluang pekerjaan, dan rantaian ini mewujudkan manfaat ekonomi. Walau bagaimanapun, keperluan di dalam industri ini bakal berkurang, dengan kemunculan kenderaan elektrik (EV).

Lebih 400 syarikat China terlibat dalam usaha membina EV. Kalau kita melihat industri solar sebagai panduan, ini akan menyebabkan kerugian kewangan yang besar dan peluang Malaysia untuk terus bertahan sangat nipis di dalam peperangan teknologi antara China, Jerman, Jepun, dan Amerika Syarikat.

Sebaliknya, Malaysia akan menjadi lebih baik jika meletakkan kedudukannya sebagai destinasi untuk gergasi-gergasi global EV yang ingin memenuhi permintaan pasaran ASEAN.

Di mana kita akan menghadapi persaingan daripada Vietnam dan Thailand, masing-masing mempunyai buruh yang ramai dengan kos yang rendah, dan juga mempunyai pengalaman yang berdekad lamanya dalam industri pemasangan CKD (Completely Knocked Down).

Model ini perlu diberi keutamaan. Dalam masa lima bulan mendatang, China akan menukar kawasan padang yang berlumut kepada Tesla Gigafactory yang baru di Shanghai.

Ribuan pakar daripada China memohon untuk bekerja di situ dan mereka dijangka mula mengeluarkan kereta dalam masa beberapa bulan lagi.

Pada masa sama, kita menghadapi kekurangan tenaga kerja kilang di Malaysia, yang akan menjadi menghalang bagi pembuatan skala besar, yang diperlukan dalam industri automasi.

Jadi apakah ertinya untuk Malaysia? Patutkah kita berundur sama sekali? Pastinya tidak. Tetapi kita mesti merangka pelan induk bagi EV dan mengenal pasti di mana peluang kita untuk bersaing.

Kita boleh mencari peluang dalam bidang-bidang segmen, yang boleh tumbuh dengan pesat, seperti pemasangan modul-modul bateri.

Inovasi dalam teknologi simpanan (storage tech) akan memastikan inisiatif intensif harta intelek (IP) dari Silicon Valley dan Jerman akan memilih Malaysia - dengan kemahiran Bahasa Inggeris dan sistem ‘Common Law’ - dan bukannya China, Thailand atau Vietnam.


DR RAIS HUSSIN merupakan presiden dan CEO EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS