DAP akan mendapatkan penjelasan Polis Bukit Aman mengenai laporan yang dibuat parti itu berhubung dakwaannya berlaku penyelewengan yang mengakibatkan kehilangan RM10 juta daripada tabung Yayasan Pendidikan Cina tahun lalu.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat DAP, Ronnie Liu berkata, pihaknya akan menemui pegawai polis Bukit Aman minggu depan.

"Temujanji sudah dibuat dan kini kami menunggu tarikh pertemuan dari mereka," katanya sambil menambah, beliau kecewa kerana dua laporan polis mengenai perkara itu sebelum ini tidak disiasat.

Katanya, kaum Cina tidak tahu bagaimana wang tersebut boleh hilang dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap kehilangan wang berjumlah RM10 juta itu.

"Sebenarnya program Yayasan Pendidikan Cina sudah dilancarkan sejak 20 tahun lalu tetapi sehingga hari ini ia tidak berjalan lancar kerana diselubungi pelbagai penyelewengan," katanya yang juga Ketua Biro Badan Bukan Kerajaan (NGO) DAP.

Yayasan Pendidikan Cina, katanya, ditubuhkan untuk membantu kaum Cina dalam bidang pendidikan, termasuk menyediakan biasiswa kepada pelajar miskin untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kes roboh rumah

Sementara itu, Ronnie berkata, pihaknya juga masih menunggu siasatan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merobohkan 100 rumah penduduk Kampung Sungai Chua yang didakwa tanpa mengikut undang-undang.

Beliau juga mendakwa, pihak berkuasa tempatan itu gagal membayar pampasan sepatutnya kepada penduduk terbabit walaupun tanah mereka mempunyai geran hak milik.

Menurutnya, rumah penduduk dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembinaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Silk).

"Kami yang mewakili penduduk terbabit telah membuat laporan polis dan BPR berhubung kegagalan pemaju membayar pampasan tetapi sehingga hari ini tidak mendapat sebarang jawaban," katanya.

Akibat tidak puas hati, katanya, penduduk terbabit telah membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

tetapi belum ada keputusan dibuat.

Beliau berkata, penduduk terbabait juga telah melaporkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad badawi, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo untuk tindakan lanjut.