Polis dan agensi penguatkuasaan perlu menyiasat bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berhubung dakwaan peranannya dalam cubaan menutup skandal 1MDB, kata Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Dalam laporannya yang dibuat di Balai Polis Daerah Dang Wangi pagi ini, Lim berkata siasatan juga dilancarkan terhadap bekas ketua pesuruhjaya SPRM serta bekas ketua polis negara.

"Sebab saya membuat laporan ini adalah mendesak pihak polis untuk menyiasat secara terperinci berkenaan kecurian dana 1MDB, " kata Lim dalam laporan polisnya.

Pada Julai 2015, Najib telah melantik Apandi sebagai peguam negara menggantikan Abdul Gani Patail, yang ketika itu mengetuai pasukan petugas khas untuk menyiasat wang berbilion-bilion dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Najib disiasat kerana menerima RM2.6 bilion (AS $ 681 juta), yang dikatakan derma politik daripada keluarga diraja Arab Saudi, serta RM42 juta yang berasal daripada SRC International.

Apandi kemudiannya menghentikan siasatan pasukan petugas khas tersebut.

Apandi, juga membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku berkaitan kemasukan wang berbilion di dalam akaun banknya.

Beliau melepaskan jawatan peguam negara selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pada tahun lepas.

Walaupun tidak mempunyai pertuduhan rasmi terhadapnya, Apandi dikenakan larangan perjalanan yang telah ditarik semula oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen melalui surat bertarikh 8 Mei lalu.

Sehari selepas pengumuman Apandi bebas ke luar negara, veteran DAP Lim Kit Siang mendedahkan peranan bekas peguam negara dalam skandal 1MDB.

Beliau juga menggesa polis untuk menyiasat dakwaan cubaan menutup siasatan kes 1MDB termasuk usaha untuk menyekat kerjasama dengan pihak penyiasat dari lebih sepuluh buah negara.

[Baca berita penuh]