Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MUKTAMAR PAS | Dua tokoh berpengaruh dan dilihat dekat dengan Abdul Hadi Awang dijangka akan cuba diketengahkan sebagai wajah baru mengisi jawatan naib presiden PAS dalam pemilihan kali ini.

Muktamar PAS ke-65 dijadual berlangsung di Indera Mahkota, Pahang pada minggu ketiga bulan depan.

Bercakap kepada Malaysiakini sumber dari PAS Kelantan itu juga berkata pada pemilihan kali ini, tiada pertandingan berlangsung di peringkat tertinggi.

"Pertandingan tertinggi yang dijangka berlangsung cuma di peringkat naib presiden.

"Selebihnya berlaku persaingan di peringkat jawatankuasa pusat," katanya.

Menurut sumber yang enggan didedahkan identitinya itu, ada usaha daripada peringkat bawahan untuk menonjolkan Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengisi dua daripada tiga kerusi naib presiden.

Untuk rekod, Nik Abduh ialah anak bekas menteri besar Kelantan, manakala Ahmad Samsuri sekarang berkhidmat sebagai menteri besar Terengganu.

Tak kisah siapa yang ketiga

Kedua-dua mereka dianggap sebahagian daripada orang lingkaran dalaman presiden PAS dan dikaitkan dalam isu kartel dedak didedahkan menantu Abdul Hadi, Zaharudin Muhammad.

Bagaimanapun Zaharudin menafikan Ahmad Samsuri terbabit.

Penyandang bagi jawatan naib presiden PAS setakat ini ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, bekas anggota parlimen Changkat Jering, Idris Ahmad, dan bekas exco Selangor Iskandar A Samad.


Baca Nik Abduh mahu kerjasama PAS-Umno sampai kiamat


Kata sumber terbabit melalui gerakan yang berlangsung itu mereka mahukan Nik Abduh dan Ahmad Samsuri menduduki kerusi naib presiden.

"Siapa yang akan menjadi seorang lagi naib presiden, mereka tidak kisah, tapi kedua-dua mereka ini (Nik Abduh dan Ahmad Samsuri) memang mahu dipastikan supaya menang," katanya.

Sumber itu juga menambah, kewujudan isu audio Nik Abduh yang mengaku menerima wang Umno serta mengaitkannya dengan Ahmad Samsuri diyakini sebahagian daripada rancangan pihak yang bertentangan menghalang mereka memenangi pemilihan.

"Satu pihak mahu kedua-dua orang ini naik, satu pihak lagi tidak bersetuju dan sebolehnya mahu menghalang.

"Saya tak pasti kalau ada lagi calon lain akan bertanding jawatan itu," katanya.

Lihat Komen
ADS