Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita PKR Melaka akan siasat pemimpin cabang sertai Umno
Diterbitkan:  Jun 2, 2019 2:21 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Wanita PKR Melaka terkejut dan kesal dengan tindakan pemimpin cabangnya Rohani Mahmood mengumumkan menyertai Umno.

Ketua Wanita PKR negeri, Ginie Lim berkata punca sebenar bekas ketua Wanita cabang Tangga Batu itu akan disiasat dan dibawa kepada biro politik parti itu.

"Pengumuman mantan ketua Wanita Cabang Tangga Batu Rohani Mahmood menyertai Umno dalam sosial media Facebook adalah mengejutkan.

"Tindakan Rohani menyertai pembangkang adalah amat dikesali. Saya akan menyiasat punca sebenar dan memberi penjelasan kepada Biro Politik," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Lim menjelaskan pihaknya tidak pernah menerima sebarang surat perletakan jawatan daripada Rohani.

Sebaliknya, kata Lim, berdasarkan peraturan Wanita PKR, Rohani secara teknikalnya masih kekal sebagai Ketua Wanita Cabang.

"Rohani telah hadir ke Majlis Buka Puasa Pimpinan Wanita Negeri dan Mesyuarat Wanita Negeri pada 21 Mei. Beliau tidak membangkitkan sebarang isu berkaitan perletakan jawatan dalam mesyuarat.

"Berkenaan dengan makluman Ketua Cabang Tangga Batu tentang perletakan jawatan Rohani melalui Whatsapp seawal bulan Januari, pihak saya tidak pernah menerima surat perletakan jawatan berkenaan, maka Rohani kekal sebagai Ketua Wanita Cabang mengikut peraturan Wanita PKR," jelasnya.

Sementara itu, Lim yang juga Adun Machap Jaya mengesahkan perletakan jawatan ketua Wanita PKR Cabang Kota Melaka Laila Maidon dibuat atas faktor kesihatan.

"Surat perletakan jawatan telah diterima dalam Mesyuarat Wanita Negeri pada 21 Mei. Perkara ini turut dimaklumkan kepada ketua Wanita Pusat, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri dan ketua Cabang PKR Kota Melaka pada 24 Mei," katanya.

Ginie juga memberitahu bahawa timbalan ketua wanita masing-masing cabang Tangga Batu dan Kota Melaka akan memangku jawatan berkenaan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan tindakan dua ketua wanita cabang PKR Melaka meletakkan jawatan, yang mendorong spekulasi berlaku pergolakan dalam PKR di negeri itu.

Lihat Komen
ADS