RTM tidak ada rancangan untuk memohon maaf sekarang
Terjemahan Stesen TV kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk membuat permohonan maaf berhubung penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW dalam segmen berita TV2.
Terjemahan Stesen TV kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk membuat permohonan maaf berhubung penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW dalam segmen berita TV2.
Sebelum ini, Malaysiakini telah memperolehi klip video segmen berita mandarin di TV2 RTM pada 3 Februari lalu yang menunjukkan seorang lelaki sedang membaca akhbar yang memaparkan karikatur kontroversi tersebut.
Dipercayai TV1 juga telah menggunakan klip video yang dibekalkan oleh sebuah agensi
berita antarabangsa itu.
Ketua Pengarah RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid memberitahu malaysiakini, stesen tersebut tidak akan mengikut jejak langkah stesen swasta TV3 dan ntv7 untuk memohon maaf. Kedua-dua stesen TV swasta itu memohon maaf Selasa lalu kerana menyiarkan karikatur tersebut.
"Sebaliknya, kita akan menunggu keputusan kerajaan terlebih dahulu. Jika kita membuat kesilapan, kita akan memohon maaf, tetapi kita perlu berhati-hati sekarang, kerana perkara tersebut kini dalam pertimbangan kerajaan.
"Pada masa yang sama, kita perlu melihat apakah pandangan bos," kata Abdul Rahman yang merujuk kepada Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, atau lebih dikenali sebagai Zam. Zam nampaknya agak keberatan untuk menyentuh perkara tersebut.
Apabila diberitahu yang TV3 dan ntv7 sudah memohon maaf sebelum kerajaan membuat keputusan, Abdul Rahman yang bertanggungjawab menyelia RTM di bawah jabatan penyiaran, berkata:
"Tetapi mereka tidak mempunyai menteri, mereka hanya mempunyai ketua pegawai eksekutif, kami ada banyak hirarki kerana ini stesen TV kerajaan...saya tidak boleh membuat keputusan."
Beliau berkata, sehingga ini menteri penerangan belum memberi sebarang arahan kepada RTM supaya memohon maaf kerana Menteri Keselamatan Dalam Negeri "mungkin memanggil atau tidak memanggil" RTM untuk menjelaskan perkara tersebut.
Tiada tindakan terhadap kakitangan
Abdul Rahman juga berkata, RTM belum menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada kerajaan dan beliau tidak tahu bilakah keputusan mengenainya akan dibuat.
RTM telah menyediakan satu laporan terperinci mengenai perkara tersebut dan akan menyerahkannya kepada menteri penerangan untuk dibawa ke kabinet.
Abdul Rahman juga memberi jaminan tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana kakitangan RTM yang secara tidak sengaja menggunakan imej tersebut, sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.
"Video tersebut dibekalkan oleh sebuah agensi berita antarabangsa. Fokus kita ialah untuk memaparkan reaksi masyarakat dunia terhadap kartun tersebut dan secara kebetulan salah satu slotnya memaparkan seorang pembaca membawa akhbar yang mengandungi karikatur tersebut.
"Bukan kita yang mahu memaparkan karikatur tersebut. Lagi pula, semua stesen (televisyen) menggunakan imej yang sama yang dibekalkan agensi berita antarabangsa berkenaan," tegas Abdul Rahman lagi.
Namun begitu, beliau tidak mahu mengesahkan sama segmen berita Warta Pagi di TV1 juga telah menggunakan imej yang sama.
"New Straits Times hanya kata TV2 yang menunjukkan karikatur tersebut," kata Abdul Rahman. Berita asal

