Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang gesa k'jaan naikkan elaun perumahan polis
Diterbitkan:  Jun 2, 2019 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan mengkaji kenaikan elaun perumahan anggota polis di Johor Bahru dan bandar-bandar utama di Malaysia.

Lim dalam suatu kenyataan selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di Skudai berkata kenaikan elaun itu penting selari dengan peningkatan kos sara hidup.

"Di Johor Bahru, kadar pasaran perumahan adalah sebanyak tiga kali ganda elaun perumahan polis.

"Tidak hanya kekurangan perumahan polis yang mencukupi di kawasan Johor Bahru, malahan perumahan kerajaan untuk polis sedia ada berada dalam keadaan sangat usang dan memerlukan pembaikan yang memerlukan puluhan juta ringgit.

"Saya cukup terkejut mendapat tahu mengenai keadaan buruk perumahan polis di kawasan ini," kata MP Iskandar Puteri selepas mendengar taklimat OCPD Johor Bahru Mohd Taib Ahmad.

Lim berkata beliau diingatkan mengenai cadangan elaun perumahan khas, yang dibuat oleh suruhanjaya diraja yang diketuai oleh bekas ketua hakim Mohamad Dzaiddin Abdullah dan bekas ketua polis negara Hanif Omar pada tahun 2005 untuk memperbaiki kebajikan pasukan polis.

Menurut Lim, cadangan itu termasuk peruntukan "elaun khas bagi anggota PDRM yang ditempatkan di bandar-bandar utama, seperti di Lembah Klang, Johor Bahru dan Georgetown untuk mengimbangi kos hidup yang lebih tinggi yang dihadapi mereka."

Memandangkan keadaan semasa yang dihadapi oleh polis, Lim menggesa pelaksanaan cadangan untuk meningkatkan elaun perumahan, pembaikan segera perumahan polis sedia ada serta pembinaan unit penempatan baru.

"Komuniti yang selamat, bebas daripada jenayah dan ketakutan jenayah, mesti menjadi salah satu hak asas kepada semua rakyat Malaysia.

"Di Malaysia Baru, kita mahu Malaysia menjadi negara setaraf dunia, ini termasuklah mempunyai pasukan polis yang bertaraf dunia," katanya.

Selain daripada elaun perumahan, suruhanjaya diraja pada 2005 juga mengesyorkan sepuluh cadangan lain, termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibahaskan ramai pihak sebelum ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS