Syarat kemasukan telah dilonggarkan dan elaun anggota polis turut dinaikkan untuk menarik lebih ramai masyarakat Cina menganggotainya, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow.

Katanya, berdasarkan kelonggaran syarat tersebut, kini calon tidak perlu mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, katanya, mereka yang terpilih perlu mengambil semula peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan mendapat kepujian dalam tempoh tiga tahun semasa berkhidmat sebagai anggota polis.

"Kerajaan berharap kelonggaran yang diberikan itu sebagai satu inisiatif untuk menarik lebih ramai kaum Tionghua menganggotai PDRM," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 23 orang penduduk Kuantan yang terlibat dengan masalah projek rumah terbengkalai hari ini. Beliau adalah Ahli Parlimen Kuantan.

Menurut laporan Bernama, Fu berkata kerajaan juga telah memberikan pelbagai elaun supaya perkhidmatan kepolisian menjadi lebih baik bagi menarik lebih ramai kaum Cina menyertai PDRM.

Beliau berkata antara sebab kaum Cina tidak berminat menjadi anggota polis ialah kerana gaji yang ditawarkan sebelum ini adalah kecil berbanding di sektor swasta.

Sahut cabaran

Beberapa tahun lalu MCA menjalankan kempen untuk menggalak dan menarik lebih ramai kaum Cina menjadi anggota polis tetapi gagal kerana satu daripada puncanya ialah masalah gaji dan syarat kelulusan kepujian Bahasa Melayu.

"Saya berharap selepas ini lebih ramai kaum Cina tampil menyahut cabaran tersebut," katanya.

Fu juga meminta rakyat dan media supaya berlaku adil terhadap anggota polis dengan tidak membuat tuduhan berat sebelah.

Katanya pendedahan secara keterlaluan oleh media mengenai perbuatan segelintir anggota polis yang terlibat dengan salah guna kuasa memberi gambaran seolah-olah keseluruhan anggota polis yang bersalah.

"Kerajaan mengalu-alukan rakyat dan media mendedahkan kepincangan segelintir perbuatan anggota polis yang telah menyalahgunakan kuasa tetapi pada masa yang sama kita perlu memberikan penghargaan dan berterima kasih kepada polis kerana kecekapan mereka menyelesaikan kes jenayah," kata Fu.