Rakan bidas pihak berkuasa rampas banglo milik ibu Jho Low
Seorang rakan kepada Jho Low membidas tindakan pihak berkuasa merampas banglo kepunyaan ibu kepada ahli perniagaan kontroversi berkenaan.
Penasihat Citizen Awareness Chant Group (Chant) Yan Lee berkata, beliau mengenali ibu bapa Low, Larry Low dan Goh Gaik Ewe selama lebih dua dekad.
Katanya, banglo di Tanjung Bungah itu tidak boleh dikaitkan dengan 1MDB kerana ia dibina bertahun-tahun sebelum timbulnya skandal berkenaan.
“Rumah itu merupakan rumah keluarga mereka sejak sekian lama. Anak-anak mereka membesar di rumah itu.
“Jika mahkamah yang adil mendapati ada wang yang diselewengkan, maka ia perlu dirampas.
"Tetapi bagaimana pula rumah ini boleh dikaitkan dengan 1MDB sedangkan ia dibina lama sebelum 1MDB wujud,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.
Justeru Yan menggesa kerajaan mematuhi undang-undang dan berhenti menggunakan isu itu sebagai satu alasan.
"Mengambil rumah keluarga - rumah keluarga siapa sahaja- tanpa apa-apa sebab adalah tidak betul," tambahnya.
Dalam cabarannya terhadap tindakan berkenaan, jurucakap Low Benjamin Haslem membekalkan salinan sijil penghuniannya pada minggu lalu, yang ditandatangani oleh wakil Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada tahun 2000.
Rumah itu adalah sebahagian daripada tindakan pelucutan sivil sebanyak RM680 juta yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap 18 individu.
Ia termasuk aset lain seperti beg tangan, kereta dan wang tunai yang dikatakan kerajaan dibeli menggunakan dana yang disalurkan dari 1MDB.
Low yang dikatakan pihak polis akan ditahan tidak lama lagi, dituduh mendalangi transaksi haram menyaksikan AS$ 4.5 bilion (RM18.82 bilion) didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.
Ahli perniagaan itu dikenakan pertuduhan tanpa kehadirannya di Amerika Syarikat dan Malaysia.
Low bagaimanapun enggan pulang dan mendakwa dia tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di negara ini.

