Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat keputusan terhadap pelantikan peguam baru bagi mewakili kementerian itu dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Bercakap kepada pemberita di Putrajaya pagi ini, menteri KPKT Zuraida Kamaruddin berkata beliau telah meminta Pejabat Peguam Negara mencadangkan beberapa nama timbalan pendakwa raya (DPP) kanan untuk menggantikan peguam Syazlin Mansor yang baru-baru ini menarik diri daripada inkues berkenaan.
"Saya minta mereka cadangkan 2,3 nama dan biar saya yang buat pilihan untuk melantik (mewakili KPKT dan jabatan bomba).
"Jadi inkues akan sambung 26 Jun, ada masa lagi. Ketika ni belum submit nama pada saya, bila dapat nama saya akan lihat dan buat keputusan," katanya semasa sidang akhbar di bangunan KPKT.
Minggu lepas, Syazlin, seorang peguam swasta yang mewakili kementerian itu sejak hari pertama inkues berkenaan, mengumumkan pengundurannya.
Menurut Zuraida, beliau membuat permintaan itu kepada AGC apabila bertemu Thomas untuk membincangkan mengenai inkues itu pada Sabtu.
Zuraida berkata, tiada sebarang perubahan dalam inkues berkenaan walaupun Syazlin berundur daripada mewakili KPKT, disebabkan DPP yang baru dilantik akan meneruskan tugas beliau.
"Sebagai sebahagian daripada kerajaan, biasanya kita perlu mengambil peguam-peguam yang dicadangkan oleh AGC. Namun berlaku sedikir kesilapan di pihak KPKT apabila melantik Syazlin tanpa kelulusan AGC.
"Jadi kita perbetulkanlah. Kita minta apa dibawa puan Syazlin tak boleh diketepikan dan diambil 100 peratus (dan) Dr Shahrom juga 100 peratus dari segi keterangan, nothing changed. DPP dilantik ni akan just follow je (mengikut saja).