Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar akan pertahan jawatan naib presiden PAS

Penyandang jawatan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan kesediaan untuk mempertahankan jawatan itu pada pemilihan Muktamar kali ke-65, yang akan berlangsung di Kuantan pada 19 hingga 22 Jun ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas menerima beberapa pencalonan, malah telah membuat pengesahan akan bertanding kepada jawatankuasa pemilihan.

"Saya difahamkan ada pencalonan lebih daripada tiga orang, tetapi bergantung kepada calon itu sendiri sama ada setuju atau tidak, sekarang ini tak tahu lagi.

"Saya sebab ada pencalonan dan memang bersetuju untuk mempertahankan jawatan.

"Pencalonan lebih daripada sebelum ini, jadi saya rasa susah juga nak tarik diri. Saya dah buat pengesahan akan bertanding," katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini memetik sumber melaporkan Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar antara pemimpin yang bakal bertanding jawatan naib presiden PAS.

Malah, kedua-dua tokoh daripada anggota jawatankuasa PAS pusat itu diletakkan sebagai calon 'mesti menang' oleh pihak tertentu dalam parti itu.

'Siapa menang pun kawan-kawan kita'

Kedua-dua mereka dianggap sebahagian daripada orang lingkaran dalaman Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan dikaitkan dalam isu 'kartel dedak' yang didedahkan menantu Abdul Hadi, Zaharudin Muhammad, baru-baru ini.

Bagaimanapun Zaharudin menafikan Ahmad Samsuri terbabit.

Sebagai rekod selain Mohd Amar, turut menyandang jawatan itu ialah bekas Anggota Parlimen Changkat Jering, Idris Ahmad dan bekas exco Selangor Iskandar Abdul Samad.

Sementara itu ketika ditanya mengenai potensi untuk mempertahankan posisinya, Mohd Amar berkata, beliau menyerahkan 100 peratus kepada kebijaksanaan perwakilan untuk mengundi calon yang dirasakan layak.

"Saya tak tahu siapa (calon lain) dan saya tak pernah tanya. Sejak dulu lagi saya sendiri tak pernah kempen, serah sepenuhnya kepada ahli.

"Bagi saya siapa menang pun semua kawan-kawan kita," katanya.

Beliau yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor berkata, pencalonan untuk beliau pada kali ini bertambah berbanding pemilihan sebelum ini.

"Pencalonan saya tinggi berbanding sebelum ini, jadi ada harapan di kalangan ahli supaya saya boleh bagi sumbangan kepada parti. Saya rasa ada ruang untuk beri sumbangan kepada parti, dengan pengalaman yang ada" jelas Mohd Amar. 

Lihat Komen
ADS