Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengaku menghadapi kesukaran untuk membanteras kegiatan kilang kitar semula plastik haram di kawasan berkenaan berikutan kelewatan syarikat utiliti memotong bekalan air dan elektrik ke kilang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata sehubungan itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara bagi membincangkan isu berkenaan.

“Kilang kitar semula plastik haram yang terletak di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan yang lain seperti di Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor telah berjaya dibanteras tetapi di Klang masih banyak kilang haram ini beroperasi.

“Ia kerana bekalan air dan elektrik ke kilang berkenaan lambat dipotong walaupun MPK telah beri surat kepada Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor, mengikut pengalaman kita, kilang haram ini akan dapat kita hentikan operasinya jika bekalan elektrik dan air dipotong dengan segera,”katanya kepada pemberita semasa menyertai operasi bersepadu kilang kitar semula plastik haram di Telok Gong di Klang, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Dalam operasi berkenaan beberapa buah kilang plastik haram telah diperiksa dan disita, malah serbuan berkenaan turut mendapati sebuah kilang yang telah disita pada awal bulan lepas melakukan operasi secara sembunyi pada sebelah lewat malam dan awal pagi.

Operasi berkenaan dijalankan selepas MPK menerima banyak aduan dari penduduk kampung sekitar kawasan berkenaan yang mengadu menghidu bau busuk susulan kerja-kerja membakar plastik yang dilakukan oleh kilang-kilang haram berkenaan pada lewat malam hampir setiap hari.

Tambah Ng kawasan pentadbiran MPK yang luas juga menyebabkan kerja-kerja pengawasan terhadap kilang-kilang haram berkenaan sukar dijalankan dengan efektif.

“Kilang-kilang haram ini bukan sahaja ada di sini (Telok Gong) malah ia juga ada di Pulau Indah, Meru dan Air Hitam, oleh itu cara paling berkesan untuk pastikan kilang ini berhenti beroperasi sepenuhnya adalah dengan memotong bekalan air dan elektrik dengan segera,” katanya.

Tambah Ng terdapat 41 buah kilang kitar semula plastik haram beroperasi di Klang dan 10 daripadanya telah dikenakan tindakan.

Bernama pada 28 Mei lepas dalam laporannya mengatakan penduduk mendakwa terdapat kilang-kilang haram yang masih menjalankan operasinya walaupun telah disita oleh MPK, perkara berkenaan telah mendapat perhatian Azmizam yang mahu MPK serius dalam melakukan kerja membanteras aktiviti berkenaan.


-- Bernama