Menanti Jho Low: Macam tunggu waktu berbuka, kata IGP
Bersabar hingga lengkap dan sampai waktunya tidak lama lagi - itu yang dinyatakan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai tanda tanya bilakah Jho Low akan ditahan.
Bercakap kepada media di Gombak hari ini, Abdul Hamid berkata, beliau tidak berhajat untuk memberi komentar lanjut mengenai status terkini ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa banyak negara itu.
Namun Abdul Hamid meminta orang ramai yakin bahawa Polis Diraja Malaysia memang sudah tahu lokasi sebenar Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - ketika ini.
“Macam mana kita bersabar menunggu waktu berbuka puasa, begitulah kita (perlu) sabar menunggunya.
"Satu hari lagi genap kita berpuasa, maka kita bersabar. Begitulah seterusnya dalam masa terdekat," katanya seperti dipetik Astro Awani.
Jho Low ialah antara watak utama yang berada di tengah kemelut skandal 1MDB selain bekas perdana menteri Najib Razak.
Jabatan Kehakiman AS sudah memulakan siri tindakan bagi mendakwa atau menyita pelbagai aset yang didakwa diperolehi melalui dana 1MDB yang diselewengkan.
Pada 30 Mei lalu Abdul Hamid berkata Jho Low akan dapat dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
Bagaimanapun beliau enggan memberikan butiran lanjut mengenainya.
“Insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Sebelum itu Abdul Hamid berkata polis mempunyai "petunjuk baru" berkenaan lokasi Jho Low - yang gagal dikesan sejak 2015 - dan akan membawanya pulang "tidak lama lagi".

