Kerajaan didesak menghentikan tekanan langsung terhadap pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis refomasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting.

Keluarga tahanan tersebut yang bimbang kesihatan tahanan terjejas menyampaikan desakan melalui Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA.

"Kami, keluarga tahanan ISA, mendesak tekanan langsung Kementerian Dalam Negeri (KDN) dihentikan serta-merta," kata jurucakap pusat itu, Raja Petra Kamarudin melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keluarga Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti Saari Sungib, penulis malaysiakini Hishamuddin Rais, aktivis reformasi Lokman Noor Adam dan Dr Badrul Amin Bahron bimbang dengan keadaan kesihatan mereka.

"Mereka nampak susut dan pucat. Berat badan turun dua hingga sembilan kilogram dalam masa seminggu," katanya.

Tambah beliau lagi keenam-enam tahanan itu sudah hampir 10 hari tidak menjamah nasi dan hanya bergantung kepada biskut yang dibeli dari kantin kem.

"Ini berlaku atas keputusan mereka menunjukkan protes di atas sikap pihak berkuasa yang terus mengasingkan mereka walaupun setelah tiga bulan ditahan. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Katanya lagi keluarga tahanan telah menghantar surat kepada KDN pada 16 September lalu bagi meminta penjelasan mengenai pengasingan yang dilakukan terhadap mereka selepas Ketua Komandan Kem, Zawawi A Rahim, mengesahkan pengasingan itu adalah atas arahan pihak KDN.

Memulaukan makanan

Enam tahanan itu bertindak memulaukan makanan yang diberi oleh pihak penjara sebagai bantahan.

Mereka mendakwa lawatan keluarga mereka dihadkan kepada yang disenaraikan oleh KDN dan dilakukan dalam keadaan dipisahkan oleh jaring besi selain diawasi pegawai penjara, dan perkara itu tidak berlaku kepada tahanan lain.

Selain itu, surat keluarga yang diterima oleh enam tahanan itu didakwa pernah dipadamkan ayatnya atau disimpan beberapa lama sebelum dihantar keluar atau diberikan kepada mereka.

Menurut Raja Petra, mereka turut membantah penafian hak mengerjakan solat Jumaat sepanjang mereka ditahan.

"Sehingga kini sudah lima bulan mereka tidak dapat menunaikan solat Jumaat," katanya.