Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PTPTN harapkan maklum balas berfakta dari rakyat
Diterbitkan:  Jun 4, 2019 1:51 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menasihatkan orang ramai agar mengkaji fakta yang ada sebelum memberi maklum balas kepada agensi itu melalui sesi Konsultasi Rakyat.

Ini kerana, menurut Pengerusi Panel Penasihat Bebas PTPTN Sheikh Shahruddin Sheikh Salim, terdapat salah tanggapan dalam kalangan peminjam.

Katanya keadaan dihadapi itu memerlukan PTPTN berkali-kali membetulkan fakta mengenai kemudahan yang ditawarkan badan terbabit serta manifesto PH.

“Pendapat yang sering perlu dibetulkan semasa sesi Konsultasi Rakyat yang dilaksanakan secara langsung ini ialah salah tanggapan bahawa kerajaan berjanji tidak mewajibkan peminjam membayar pinjaman mereka.

"Satu lagi kesilapan tanggapan itu ialah kerajaan PH berjanji dalam manifesonya untuk memansuhkan hutang PTPTN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sheikh Shahruddin sebenarnya ada dua janji dinyatakan PH dalam manifesto mereka mengenai PTPTN, iaitu menghapuskan larangan perjalanan ke luar negara yang membebankan, serta penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.

“Salah satu janji itu sudah dipenuhi, dan kini kabinet akan membincangkan sejauh manakah mereka mampu memenuhi janji kedua apabila kami mengemukakan kertas cadangan terakhir yang mengandungi maklum balas rakyat,” katanya.

Beri cadangan, sedar kesan

Menurut Sheikh Shahruddin fakta yang dibentangkan itu dibuat dengan kajian mendalam.

Misalnya, kata beliau, jika penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan RM4,000 dan ke bawah diperkenalkan, kutipan PTPTN akan merosot sebanyak satu pertiga, iaitu hanya RM950 juta setahun.

Katanya kekangan itu berlaku kerana 68 peratus peminjam PTPTN ketika ini mempunyai gaji di bawah paras tersebut.

Kertas konsultasi disediakan PTPTN itu juga, katanya, mengunjurkan bahawa seorang siswazah baru dengan gaji permulaan RM2,000 - dan kenaikan tahunan sebanyak 5 peratus - akan mengambil masa 15 tahun untuk memperoleh gaji RM4,000.

"Persoalannya ialah, sama ada mereka bayar sekarang atau bayar kemudian apabila umur mencapai lewat 30-an, tetapi bukan tidak membuat pembayaran langsung, yang merupakan andaian umum secara berleluasa," katanya.

Gambar fail

Mengenai seruan untuk memansuhkan PTPTN, Sheikh Shahruddin berkata rakyat bebas membuat cadangan tersebut dengan syarat mereka sedar dan boleh menerima kesan yang mungkin timbul, serta mempunyai idea lebih baik untuk menangani kesannya.

Dalam Kertas Konsultasi Rakyat PTPTN, katanya, jika badan itu dimansuhkan bermakna sektor swasta terpaksa menyediakan pinjaman pendidikan tinggi sendiri.

"Pada masa ini, PTPTN mengenakan ujrah (upah) sebanyak 1 peratus, manakala pinjaman komersial memberikan kadar faedah yang lebih tinggi dan membebankan peminjam masa depan," katanya.

Selain itu, menurut Sheikh Shahruddin, pinjaman komersial juga menyediakan syarat kelulusan yang lebih ketat dan mungkin mengetepikan pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) atau mereka yang berada dalam kedudukan kewangan yang lemah.

Dari perspektif kewangan, katanya, hutang semasa PTPTN yang berjumlah RM40 bilion terpaksa dialihkan kepada kerajaan dan pembayar cukai.

"Sekiranya peminjam yang masih berhutang dilepaskan, ada kemungkinan kerajaan terpaksa membayar balik peminjam bertanggungjawab yang sudah membayar semula hutang mereka sepenuhnya atau sedang membayar secara konsisten dan ini akan menambah bebanan kewangan negara," katanya.

Sementara itu PTPTN menyatakan, sejak dilancarkan pada 16 Mei lalu, Konsultasi Rakyat hanya merekodkan 18,862 maklum balas daripada 180,163 pengunjung.

Orang ramai boleh mengemukakan maklum balas mereka menerusi portal rasmi PTPTN https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat, sebelum ia ditutup pada 13 Jun 2019.

Lihat Komen
ADS