Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan dalaman, bukan RCI, kata Gopal Sri Ram
Diterbitkan:  Jun 4, 2019 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mencadangkan supaya kerajaan melalui Ketua Hakim Negara baru Tengku Maimun Tuan Mat menjalankan siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan salah laku badan kehakiman.

Gopal berkata, langkah itu adalah lebih baik berbanding menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang menurutnya boleh mencabul prinsip pengasingan kuasa.

"Jawatankuasa itu boleh menyiasat sama ada terdapat salah laku oleh hakim yang sedang berkhidmat atau telah bersara dan melaporkan kepada ketua hakim.

"Badan kehakiman itu, sebahagian daripada kerajaan (being an arm of the gment), ia tidak boleh diadakan RCI,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah untuk Tengku Maimun untuk menubuhkan siasatan dalaman berikutan rundingan dengan Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop serta Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, David Wong.

Beliau juga mencadangkan panel siasatan dalaman itu terdiri daripada lima orang ahli, termasuk tiga hakim bersara, dan diberi mandat untuk memberikan keputusannya hanya kepada ketua hakim negara.

Pada bulan Februari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menubuhkan RCI berikutan pendedahan menggemparkan daripada Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam sebuah afidavit.

Dalam afidavit itu, Hamid, yang mendakwa salah laku dalam bidang kehakiman, melahirkan rasa kesal bahawa ketua hakim ketika itu Richard Malanjum tidak menubuhkan RCI.

Lihat Komen
ADS