Seperti diduga, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu yang kini berusia 70 tahun, sekali lagi mengekalkan jawatannya sebagai presiden MIC.

Beliau diumumkan terpilih menyandang jawatan tersebut bagi penggal ke-10 berturut-turut selepas pencalonan ditutup di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur tengahari semalam.

Samy Vellu yang menyertai MIC pada 1959, menerajui parti kaum India terbesar di negara ini sejak 1981. Beliau mulai menjadi pemimpin dalam MIC parti komponen ketiga terbesar dalam Barisan Nasional sebagai Ketua Pemuda pada 1971, naib presiden parti 1975 dan timbalan presiden pada 1977.

Beliau menjadi Ahli Parlimen pada 1978 dan berikutan kematian Tan Sri V Manickavasagam pada 1979, beliau menjadi pemangku presiden MIC pada 1979. Beliau menjadi presiden MIC pada 22 Mac 1981 hingga sekarang.

Samy Vellu pernah dicabar beberapa kali termasuk timbalan presiden Datuk S Subramaniam pada 1990.

Hampir 1,500 penyokongnya berkumpul di ibu pejabat parti itu sejak jam 9 pagi dan mereka melaungkan "Hidup Samy Vellu" sebaik pengerusi jawatankuasa pemandu pemilihan presiden, Datuk K. Vijiyanathan mengumumkan perkara itu.

Samy Vellu mendapat 528 pencalonan jauh, melebihi 50 pencalonan yang diperlukan untuk bertanding jawatan tertinggi MIC itu.