Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Helang, pipit terbang tak sama tinggi' - Media sosial kecoh hantaran TMJ
Diterbitkan:  Jun 6, 2019 8:15 PM
â‹…
Dikemaskini: 1:06 PM

Media sosial kecoh mengenai hantaran Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan burung helang dan pipit.

Ini selepas Tunku Ismail bertitah semalam bahawa helang dan pipit terbang pada ketinggian yang berbeza dipercayai sebagai kiasan darjat darah bangsawan tidak sama dengan orang kebanyakan.

Bagaimanapun, hantaran TMJ di Instagram itu hanya boleh didapati selama 24 jam.

Pada hantaran berkenaan, Tunku Ismail bertitah memakai seluar hitam yang dipasangkan dengan baju Melayu teluk belanga merupakan pakaian tradisi keluarga di raja Johor. 

Titah TMJ lagi, hal ini menyebabkan tiada orang lain dalam kerajaan Johor yang akan memakai seluar hitam.

"Ini adalah pakaian tradisi keluarga di raja Johor. Identiti ini melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan kerabat damping. Keluarga yang memerintah. Darah keturunan sultan.

"Itu fasal kita boleh lihat tiada orang dalam kerajaan pakai seluar hitam. Kerana hanya keluarga di raja dan atau kerabat damping yang boleh pakai atau layak pakai seluar hitam.

"Hari ini ramai orang cuba pakai gaya keluarga di raja Johor. Ramai orang luar atau inidividu yang tidak suka atau mengata keluarga di raja Johor tetapi gaya raja Johor semua nak tiru.

"Ramai nak jadi raja sebenarnya. Saya yang anak raja ini pun apabila tersilap langkah saya ditegur oleh almarhum datuk saya.

"Kau jangan lupa helang dan pipit terbang tak sama tinggi.

"Kau baik tahu tempat masing-masing dan angan-angan itu rendahkan sikit daripada rumput," titah putera mahkota itu.

Pada hantaran Instagram berbeza, Tunku Ismail menyorot Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang berbaju Melayu dan memakai seluar hitam dengan petikan kata: "Yang ini pula tradisi nak jadi perdana menteri dan Sultan Johor pada masa yang sama."

Walaupun hantaran itu sudah tidak ada lagi, gambar tangkap layarnya terus dikongsi di Twitter dan mendapat perhatian MP Bukit Mertajam Steven Sim.

"Helang terbang tinggi, pipit terbang rendah, peminat pantun, sila beli," kicaunya.

Bagaimanapun terdapat juga yang lebih pedas mengulas, misalnya laman Facebook Bebas Anwar.

"Biar seluar hitam, asalkan hati putih. Biar pipit, asalkan jiwa dan maruah bak helang.

"TMJ janganlah jadi budak bodoh sombong, angkuh," kata hantaran itu.

Mengulas maklum balas berkenaan, Tunku Ismail bertitah baginda cuma menyampaikan nasihat almarhum datuknya Sultan Iskandar Sultan Ismail.

"Yang kena marah dengan datuk saya, saya. Apabila saya tersilap atau bongkak, itu yang almarhum akan pesan kepada saya. 

"Maksudnya jangan lupa diri. Biar merendah diri. Soalan dia sekarang ini kenapa orang lain yang terasa? Saya ceritakan tentang pesanan datuk saya kepada saya," titah TMJ.

Hantaran TMJ menjadi topik perbincangan hangat ketika hari raya di media sosial.

Penerbit buku Fixi turut mengambil peluang topik sohor di media sosial ini dengan kicauannya di Twitter.

"Buku Fixi sesuai dibaca oleh helang, pipit dan semua jenis burung lain," ciapnya.

Walaupun begitu, terdapat juga pengguna media sosial yang tidak sedar mengenai perkara itu.

"Saya tidak faham. Apa yang terjadi? Pipit? Helang?" Soal pengguna Twitter Afreena.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter dengan nama akaun pengendali Svkzvr pula tertanya-tanya, kenapa, "garis masa saya dibanjiri ciapan helang dan pipit?"

[Baca berita penuh]

ADS