Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC) akan menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengatur pertemuan, kata pengerusinya, William Leong.

Jelas Leong yang juga merupakan ahli parlimen Selayang, jawatankuasa itu tidak mendapat kerjasama daripada eksekutif dalam tiga pelantikan awam utama.

Leong merujuk pelantikan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan yang terbaru Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

Leong yang sebelum ini berkata jawatankuasa yang dipengerusikannya itu tidak dimaklumkan berhubung pelantikan Latheefa, menambah bahawa mereka juga tidak dimaklumkan berhubung pelantikan ketua polis negara dan ketua hakim negara.

"Pelantikan ini tidak dimaklumkan kepada kami untuk memberi kami peluang meneliti. Kami cuma dapat tahu melalui laporan media.

"Kami terkejut dan kecewa (perbincangan tentang pelantikan itu) tidak dibawa kepada kami," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Leong, dia sedang menulis surat kepada perdana menteri dan berharap surat itu dapat dihantar hari ini.

"Jelas sekali kita perlu duduk bersama kerana jika perkara ini berterusan, jawatankuasa ini tidak akan berfungsi.

"Kita akan beritahu perdana menteri bahawa kita tidak mengambil alih kuasanya," katanya.

Mengambil maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan bagi jawatankuasa berkenaan, Leong berkata, kerajaan masih tetap boleh bekerjasama dengan mereka dalam pelantikan itu.

Menurutnya, melibatkan jawatankuasa pemilihan parlimen dalam pelantikan awam akan memberi gambaran bahawa pelantikan itu dibuat mengikut merit dan garis panduan, katanya.

Perkara itu akan menambah keyakinan orang awam, kata Leong lagi.

Leong bagaimanapun berkata, untuk jangka masa panjang, kerajaan mungkin perlu meminda Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan untuk membolehkan semak dan imbang oleh legislatif dalam pelantikan awam.

Buat masa ini, jelasnya, jawatankuasa pemilihan parlimen hanya diberi taklimat dan berbincang tentang pelantikan pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada penghujung Mei.

Bagaimanapun, Leong berkata, belum ada keputusan tentang individu yang akan menjawat jawatan itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS