Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur menyokong pendirian Malaysia dan menyatakan kebimbangan berhubungan pengeksportan haram sisa plastik.

Media sebelum ini melaporkan bahan buangan plastik yang kemungkinan dieksport secara haram dari UK ke Malaysia.

"Walaupun kami mengiktiraf eksport pasaran plastik - terutamanya bagi negara yang menghasilkan produk baru dari bahan kitar semula plastik, kami mengecam syarikat yang mengeksport plastik yang tidak boleh dikitar semula secara haram," kata Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan media itu juga mengecam syarikat yang mengimport bahan buang plastik boleh kitar semula namun gagal untuk mengitar semula atau melupuskan sisa dengan cara yang lestari dan bertanggungjawab.

"Untuk menangani isu pengeksportan haram UK, Agensi Alam Sekitar UK bekerjasama dengan syarikat yang mengeksport sisa ke negara seperti Malaysia bagi memastikan sisa yang dieksport untuk dikitar semula tidak tercemar dan hanya dihantar ke fasiliti yang mempunyai lesen yang sah dan boleh mengitar semula dengan betul," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, kerajaan UK tidak takut mengambil tindakan terhadap pihak yang mengeksport sisa secara haram.

"Pihak yang didapati mengeksport dengan cara yang tidak betul boleh berdepan dua tahun penjara atau denda tanpa batas," kata kenyataan itu lagi.

[Baca berita penuh]