Bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee percaya kerajaan "diberi nasihat yang salah" untuk memohon kepada mahkamah mengenepikan saman pemulanya yang mempertikai keperlembagaan Suruhajaya Siasatan Diraja (RCI) yang dicadangkan bagi menyiasat dakwaan salah laku kehakiman.

Dipetik Malay Mail, Yong mengaskan bahawa samannya mempunyai alasan yang kukuh.

"Terpulang kepada mahkamah untuk mengenepikan saman pemula itu.

"Siapa pun menteri atau pegawai yang menasihatkan kabinet tentang RCI kehakiman tidak melakukan tugas yang baik.

"Kabinet nampaknya diberi nasihat yang salah," katanya.

Pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya didedahkan sebelum ini memaklumkan Malaysiakini bahawa kerajaan mahu mengenepikan saman Yong kerana sebelum ini, pada 2008 RCI seumpamanya pernah ditubuhkan.

Sumber juga berkata kerajaan menyifatkan saman Yong sebagai mengarut.

Pendengaran bagi saman itu ditetapkan pada 2 Julai.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 29 April, Yong berkata RCI itu akan menyebabkan campur tangan eksekutif dalam kehakiman.

Yong sebaliknya mencadangkan agar kerajaan mengadakan tribunal terhadap hakim yang terlibat dalam dakwaan itu.

[Baca berita penuh]