Umno Bkt Mertajam desak Tsu Koon letak jawatan dalam PBAPP
Umno Bahagian Bukit Mertajam mendesak Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan
mengembalikan jawatan itu kepada Umno.
Umno Bahagian Bukit Mertajam mendesak Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan
mengembalikan jawatan itu kepada Umno.
Ketua Bahagian itu, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir mendakwa jawatan itu hak Umno dan selama ini disandang oleh pemimpin parti itu sebelum ia diambil alih oleh Koh untuk tempoh sementara bagi tujuan pengkorporatannya pada Mac 1999.
Menurutnya, sudah tiba masanya jawatan itu dikembalikan semula kerana semua urusan termasuk penyenaraian PBA Holding Bhd di papan utama Bursa Malaysia, telahpun selesai pada 2002.
Ketika berucap pada pelancaran kempen penambahan ahli baru "Keluargaku Ahli Umno" oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohd Ali Rustam malam tadi, beliau berkata bahagian itu akan menghantar memorandum kepada Pengerusi PBAPP itu dalam masa beberapa hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, memorandum itu bertujuan menyokong tindakan Pergerakan Pemuda Umno Negeri yang menghantar memorandum mengenai perkara itu pada 16 Januari lalu.
Pembuat dasar
Musa mendakwa penyertaan Bumiputera dalam kumpulan pengurusan PBAPP amat kecil iaitu hanya dua orang daripada sembilan anggota pembuat dasarnya manakala 67 peratus daripada buruh dan kumpulan artisan di perbadanan itu terdiri daripada orang Melayu.
Sehubungan itu, beliau mahu kedudukan itu diperbaiki dan Bumiputera diberi kepercayaan yang lebih dalam soal membuat dasar dan keputusan penting syarikat itu.
Musa juga mendakwa perkhidmatan PBAPP tidak memuaskan dan masih ada penduduk kampung di kawasannya yang tidak mendapat bekalan air paip walaupun telah mengajukan permohonan sejak sekian lama.
"Saya kecewa dengan pengurusan PBAPP yang lambat bertindak sehingga ada penduduk di kawasan Alma masih menggunakan bekalan air telaga untuk kehidupan seharian. Kita sudah buat permohonan dan bawa pegawai PBAPP melawat ke kawasan itu tetapi sehingga kini tiada tindakan," katanya.
Menurutnya beliau bukan mahu menyakiti hati mana-mana pihak tetapi terpaksa berbuat dermikian untuk menjaga kepentingan orang Melayu.
"Saya akan suarakan perkara ini di mana-mana sahaja. Saya bukan nak jadi hero tetapi saya mahu mempertahankan hak orang Melayu," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.